- Wartawan Nabalu News
ESSCOM laksanakan operasi bersepadu di Semporna, tahan 102 individu

27 Februari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
SEMPORNA: Lembaga Keselamatan Maritim Sabah Timur (ESSCOM) telah melaksanakan operasi bersepadu di daerah Semporna untuk memastikan persekitaran setempat selamat dan terjamin bagi pembangunan sosio-ekonomi yang lebih baik.
Menurut DCP Datuk Hamzah Ahmad, operasi ini dilakukan selaras dengan moto 'Bersama-sama Menjana Kesejahteraan'.
“Sebanyak 1,555 orang telah diperiksa dan 102 individu telah ditahan bagi tujuan pendokumentasian. Seramai 14 warga Filipina berumur antara 17 hingga 47 tahun juga ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Akta Pasport.
“Pemeriksaan dijalankan di 11 lokasi di Daerah Semporna termasuk Pulau Bum Bum dan pondok di Gugusan Pulau Bodgaya dan Bohey Dulang melibatkan pemeriksaan ke atas 440 buah rumah dan premis niaga oleh Bahagian Penguatkuasa Pejabat Daerah Semporna, Majlis Daerah Semporna (MDS) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” katanya dalam satu kenyataan harini.

Selain itu, Hamzah berkata, MDS juga telah menjalankan penguatkuasaan saman dan kompaun, sementara Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) telah melaksanakan pemotongan sambungan haram elektrik dan rampasan sebanyak 110kg kabel elektrik.
“Sebanyak tiga keping kompaun dikeluarkan di bawah Akta Makanan 1983 berkaitan dengan keselamatan pengendalian makanan dan dua keping notis kompaun di bawah Market Law Act 1972 atas sebab telah tamat tempoh lesen berniaga.
“Sementara itu, JTK telah mengeluarkan dua keping notis pematuhan di bawah Ordinan Buruh (Sabah Cap.67) kerana majikan gagal menunjukkan salinan penyata gaji kepada pekerja,” katanya.
Selain itu, Hamzah berkata sebanyak 316 buah kenderaan telah diperiksa dan 76 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalulintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.
Beliau menekankan bahawa operasi ini dijalankan bagi memastikan kesejahteraan dan pembangunan sosio-ekonomi Daerah Semporna terus terjaga dan berkembang maju.