Ewon alu-alukan hasrat MUDA sertai Pakatan Harapan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon alu-alukan hasrat MUDA sertai Pakatan Harapan


Ewon (empat dari kiri) bergambar bersama para pemimpin MUDA Sabah.

9 Sept 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA MARUDU: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedik mengalu-alukan hasrat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyertai Pakatan Harapan (PH).


Menurut beliau, hasrat MUDA tersebut menyerlahkan relevan PH sebagai satu blok politik berasaskan parti-parti berbilang kaum yang boleh menerajui pentadbiran dan kepimpinan negara.


Ewon menambah bahawa MUDA pastinya mahu berkongsi aspirasi dan wawasan masa depan negara dengan parti-parti sedia ada dalam PH berasaskan kepada ideologi reformasi dan progresif blok parti-parti berbilang kaum.


"Saya percaya MUDA sudah sedia maklum dengan aspirasi dan wawasan politik PH untuk negara ini dan mahu menyumbang ke arah ini bersama-sama dalam blok yang sama. Jika MUDA berkongsi aspirasi ini, saya mewakili UPKO mengalu-alukan hasrat mereka. Jika mereka memohon secara rasmi menyertai PH, ianya akan dibincang dalam Majlis Presiden PH untuk keputusan," katanya.


Mesyuarat pimpinan MUDA pada 6 September baru-baru ini telah membuat keputusan bersetuju menyertai parti komponen PH.


Menurut Ewon, keputusan UPKO menyertai PH secara rasmi pada tahun 2021 dibuat selepas perbincangan mendalam Majlis Tertinggi berhubung dengan tadbir urus masa depan negara.


"UPKO menyertai PH secara rasmi pada tahun lepas kerana yakin dan percaya bahawa gagasan politik berbilang kaum adalah pilihan terbaik menerajui pentadbiran dan kepimpinan negara dengan memperkenalkan agenda-agenda reform dalam tadbir urus awam.


"UPKO berkongsi aspirasi ini dengan parti-parti sedia ada dalam PH dan mahu memberi sumbangan ke arah pembinaan semula negara ini berdasarkan kepada pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.


"Kita juga mahu teraju kepimpinan iaitu Perdana Menteri datang daripada parti yang berbilang kaum supaya dasar-dasar yang digubal akan lebih inklusif dan progresif.


"Saya percaya perkara yang sama juga dikongsi oleh MUDA. Secara peribadi, saya berharap blok PH akan terus dapat diperkasakan dan berharap kebersamaan dengan MUDA dalam blok ini akan dipermudahkan," katanya.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyatakan demikian semasa diminta mengulas oleh wartawan Nabalu News di Kota Marudu hari ini.


MUDA Sabah yang mengadakan program khidmat masyarakat di Kg Rasak Darat hari ini turut berkunjung singgah menemui Ewon dan kepimpinan baharu UPKO Kota Marudu.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page