Ewon alu-alukan pembinaan Chapel Katolik di hospital kerajaan di Sarawak

20 Mac 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan pembinaan Chapel Katolik di Pusat Jantung Sarawak, sebuah hospital kerajaan di negeri tersebut.
“Saya berbangga dan gembira apabila membaca laporan berita melalui akhbar Daily Express yang melaporkan perasmian Chapel di Pusat Jantung Sarawak tersebut untuk digunakan oleh kakitangan hospital dan para pesakit.
“Tahniah Sarawak!” kata Ewon dalam ciapan dalam laman Twitter beliau.
Ketika dihubungi wartawan Nabalu News untuk mendapatkan komen beliau berkenaan pembinaan chapel tersebut, Ewon turut menyatakan harapan agar ianya menjadi teladan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di seluruh negara agar memberi ruang kepada kakitangan mereka menunaikan ibadah agama dalam premis Kerajaan.
“Saya ingin melihat Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya juga membina gereja dan rumah ibadat kepada penganut-penganut agama lain selain daripada masjid-masjid sedia ada yang digunakan oleh masyarakat Islam.
"Pada saya, Putrajaya juga harus menunjukkan teladan sebagai pusat kerajaan bagi semua rakyat Malaysia kerana ahli-ahli jemaah kabinet, para pegawai dan kakitangan pelbagai kementerian yang berkhidmat di Putrajaya serta rakyat yang berkunjung ke sana terdiri daripada pelbagai agama.
“Seterusnya saya juga ingin melihat kampus-kampus pengajian tinggi dan sekolah-sekolah kerajaan juga menyediakan ruang kepada penganut agama selain Islam agar para mahasiswa dan kakitangan institusi dapat menunaikan ibadah agama masing-masing di ruang khas yang disediakan.
"Saya tahu di kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) terdapat sebuah bangunan chapel Katolik. Ianya boleh diteladani kampus-kampus lain," katanya.
Ewon berharap Kerajaan Negeri Sabah juga akan mengambil langkah serupa iaitu menyediakan ruang dan kemudahan kepada penganut agama Kristian untuk menunaikan ibadah agama mereka di premis Kerajaan tempat mereka bekerja seperti hospital, sekolah dan bangunan Kerajaan yang lain.
"Saya pasti inilah yang diinginkan oleh bapa-bapa pengasas Malaysia yang menginginkan semangat toleransi dan hormat-menghormati sesama rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bahasa,” katanya.
Ewon yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah turut berkongsikan aspirasi dan pengalaman beliau menambahbaik semangat toleransi dan hormat-menghormati sepanjang beliau di kementerian tersebut.
“Semasa saya di KPLB Sabah, kita meraikan semua sambutan keagamaan dan kebudayaan yang dirayakan oleh kakitangan kementerian. Selain bulan Puasa dan Hari Raya Puasa, saya turut memastikan sambutan Krismas dan Tahun Baru Cina turut disambut di peringkat kementerian,” katanya.
Comments