Ewon alu-alukan usaha kerajaan negeri sediakan peruntukan untuk koperasi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon alu-alukan usaha kerajaan negeri sediakan peruntukan untuk koperasi

13 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyambut baik serta mengalu-alukan usaha beberapa kerajaan negeri menyediakan peruntukan kepada koperasi di negeri masing-masing.


Beliau berkata, langkah ini penting bagi membantu membangunkan lagi gerakan koperasi di seluruh negara seterusnya menyumbang kepada peningkatan perolehan.


“Terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh beberapa kerajaan negeri dalam memberikan insentif kepada gerakan koperasi.


“Antaranya, Kerajaan Negeri Selangor menyediakan insentif RM1 juta, Pulau Pinang (RM240,000), Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan insentif sebanyak RM300,000 dengan sasaran 20 koperasi akan menerima manfaat.


“Kerajaan Negeri Perak turut memperuntukkan insentif sebanyak RM620,000 dengan sasaran lebih 100 koperasi akan menerima manfaat.


“Selain itu, Kerajaan Negeri Melaka telah memperuntukkan sebanyak RM100 ribu dengan sasaran 15 koperasi akan menerima manfaat.


“Harapan saya agar kerajaan negeri yang lain juga dapat sama-sama membantu pembangunan gerakan koperasi di negeri masing-masing untuk meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat Malaysia,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Siri 1/ 2024, di Dewan Tun Razak, Menara Bank Rakyat, di sini, hari ini.


Ewon berkata, Dasar Koperasi Malaysia (DaKom) 2030 telah mensasarkan perolehan gerakan koperasi sebanyak RM60 bilion pada tahun 2025.


“Tetapi perolehan gerakan koperasi setakat tahun 2023 sudah pun mencecah RM64 bilion. Ini bererti kita telah mencapai salah satu petunjuk prestasi utama (KPl) dalam dasar tersebut dua tahun lebih awal.


“Sebab itu, kita mengharapkan rakyat terus menganggotai koperasi dan melibatkan diri dalam gerakan koperasi agar kita dapat terus melonjakkan lagi perolehan koperasi ini pada tahun akan datang,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page