top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon anggotai jawatankuasa PH runding dengan Muda, PSM

Ewon (dua dari kiri), Nik Nazmi (dua dari kanan), Steven (kanan) dan Mohd Hasbie, menganggotai jawatankuasa itu.

21 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick diberi peranan menganggotai satu jawatankuasa Pakatan Harapan (PH) bagi mengadakan rundingan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).


Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Setiausaha Organisasi DAP Steven Sim Chee Keong dan Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Presiden PH selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor petang tadi, PH bersetuju untuk membentuk jawatankuasa itu bagi meneliti dan membincangkan permohonan keanggotaan Muda serta hasrat PSM untuk bekerjasama secara rasmi.


Jawatankuasa itu dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti komponen PH.


Selain UPKO, PH dianggotai PKR, DAP dan Amanah.

Majlis Presiden PH berpendapat hasrat Muda dan PSM itu menandakan mereka sedia berada di landasan sama dengan PH bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), seterusnya mengelakkan pertembungan.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh

Presiden PKR Datuk Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Hj Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden UPKO Datuk Madius Tangau.