top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon, Armizan selalu cakap peruntukan tidak cukup - Anwar


5 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan dua menteri persekutuan dari Sabah, Datuk Ewon Benedick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Datuk Armizan Ali Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna seringkali membangkitkan di mesyuarat kabinet mengenai peruntukan untuk Sabah termasuk pemberian khas.


Menurut Anwar, kedua-dua menteri ini tidak pernah jemu meminta tambahan peruntukan, terutama bagi pembangunan di Sabah.


Walaupun sering menerima permintaan tambahan peruntukan, Anwar menyatakan bahawa beliau tidak keberatan dengan cara kedua-dua menteri tersebut menyampaikan permintaan mereka.


“Tiap kali mesyuarat, wakil dari Sabah, Armizan dan Ewon di Kerajaan Persekutuan di Kabinet Persekutuan. Letih saya dengar, minta itu minta ini. Tak apa, yang penting mereka minta cara baik sebagai kawan,” ujar Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika berucap pada Himpunan Perdana Rakyat Keadilan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.


Anwar berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan permintaan untuk menambah peruntukan yang disuarakan oleh wakil Sabah dan Sarawak kepadanya.


"Yang perlu, terima kenyataan dan runding. Minta lagi, tak ada masalah. Tiap kali mesyuarat, wakil Sabah, Ketua Menteri, Menteri Kewangan minta, tak cukup itu, tak cukup ini," katanya.


Anwar turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah berusaha memenuhi janji-janji yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


"Ketua Menteri tahu, Premier Sarawak tahu MA63 itu janji bapa bapa, ibu ibu kita masa merdeka, apa kita harus tunai? Ya! Tetapi satu tahun ini kita laksanakan lebih banyak daripada 10 tahun sebelumnya," tegas Anwar.


Ketika berucap di Himpunan Perdana Rakyat di Kota Kinabalu semalam, Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa peruntukan RM16 billion yang diumumkan sebelum ini adalah peruntukan keseluruhan untuk negeri Sabah bagi tahun ini.


"Mesti ditegaskan sekali lagi tatkala terdapat beberapa pihak yang keliru dan cuba menangguk di air yang keruh terkait perkara ini.


"Jumlah besar yang diperuntukkan ini adalah untuk perbelanjaan pelbagai perkara termasuk pendidikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri," jelasnya.


Anwar turut memberikan jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan terus berkerja kuat menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.


Beliau turut menggesa kerajaan negeri Sabah memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang memberi manfaat kepada rakyat negeri itu disiapkan secepat mungkin tanpa sebarang kelewatan.


Anwar turut menyentuh mengenai soal kelangsungan parti di Sabah yang mana KEADILAN harus bangkit dan seterusnya memperjuangkan nasib setiap lapisan rakyat di negeri itu.


"Dengan semangat yang luar biasa, saya percaya setiap anggota mampu melakar perubahan dengan gagah dan megah di seluruh negeri Sabah," katanya.

댓글 2개


Cholyne Roy Jumin Jimmy
Cholyne Roy Jumin Jimmy
8월 14일

Terus cemerlang dam gandakan usaha murni anda demi rakyat sabah..

좋아요

Jubin Johari Kinsil
Jubin Johari Kinsil
8월 05일

Datuk Ewon Benedick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Datuk Armizan Ali Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna


Teruskan usaha murni untuk rakyat Sabah. Kerajaan MADANI pasti dengar keluhan rakyat Sabah memalu YB Datuk Ewon dan YB. Datuk Armizan.

좋아요
bottom of page