Ewon hargai dedikasi dan kerjasama warga KUSKOP jayakan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara
- nabalunews
- 12 minutes ago
- 2 min read

9 November 2025
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menzahirkan penghargaan kepada semua warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Sabah atas dedikasi, semangat dan kerjasama padu mereka sepanjang tempoh tiga tahun beliau menerajui kementerian itu.
Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengesahkan keputusan untuk berundur daripada Kabinet Persekutuan atas prinsip perjuangan mempertahankan dan mengutamakan hak-hak Sabah, selaras dengan perjuangan partinya.
Beliau berkata, sepanjang kepimpinannya, KUSKOP telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan dan koperasi di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk pelantikan wakil Sabah dan Sarawak dalam lembaga pengarah agensi-agensi KUSKOP bagi memastikan isu, cabaran dan aspirasi wilayah ini diambil kira dalam proses pembuatan dasar.

“KUSKOP juga telah meluaskan perkhidmatan agensi-agensi termasuk pembukaan pejabat cawangan baharu serta penyediaan perkhidmatan perbankan oleh Bank Rakyat di kawasan pedalaman.
“Pelaksanaan program khas seperti Projek Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu, Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak, Program Ehsan@KUSKOP, Hab PMKS Sabah dan Sarawak, Live Hab Studio TikTok TEKUN serta Pusat Penjaja Moden Kundasang turut berjaya direalisasikan.
“Selain itu, penganjuran program peringkat kebangsaan di Sabah dan Sarawak serta penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah dan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah di kedua-dua negeri juga telah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Apresiasi Bersama Agensi-Agensi KUSKOP di Sabah, di sini, semalam.
Ewon berkata, sepanjang menerajui KUSKOP beliau telah melaksanakan lawatan dan program kementerian di hampir kesemua 25 kawasan Parlimen di Sabah, selain memperkenalkan biasiswa khas pelajar Sabah di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), subsidiari Institut Koperasi Malaysia (IKMA).
“Dasar ini menjadi asas kepada usaha kita memastikan pembangunan usahawan dan koperasi di Sabah dan Sarawak terus mendapat perhatian serta sokongan strategik daripada kerajaan persekutuan,” katanya.
Sebagai Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan, Ewon berkata, beliau akan untuk terus menyokong segala Rang Undang-Undang yang dibawa oleh KUSKOP ke Parlimen serta berhasrat untuk terus berperanan sebagai Friends of Ministry bagi kementerian berkenaan.

“Tempoh tiga tahun saya di KUSKOP amat berharga, melihat semangat ‘We Make It Happen’ yang ditunjukkan oleh setiap warga KUSKOP. Saya amat menghargainya,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan khusus kepada warga KUSKOP di Sabah yang sentiasa bersama beliau dalam menjayakan pelbagai program, mesyuarat dan urusan kementerian sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Saya ingin menyatakan penghargaan kepada semua warga KUSKOP di Sabah yang telah bersama-sama dalam kepimpinan dan perkhidmatan kementerian ini sepanjang tiga tahun ini.

“Saya terinspirasi dan termotivasi dengan semangat kebersamaan, kerjasama dan keinginan untuk memberikan yang terbaik dalam amanah masing-masing yang ditunjukkan oleh setiap warga KUSKOP dan agensi di bawahnya,” katanya.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato' Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SME Corp Tan Sri Bernard Dompok, ahli-ahli lembaga dan ketua-ketua agensi KUSKOP di Sabah.














