• Wartawan Nabalu News

Ewon ikon pemimpin generasi muda: Donald


Ewon, Donald dan Remmy bersama sebahagian penduduk kampung yang hadir pada program itu.

9 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Donald Mojuntin, berkata Datuk Ewon Benedick adalah ikon pemimpin generasi muda dalam era politik baharu.


Sehubungan itu beliau yakin sekiranya Ewon memenangi kerusi Parlimen Penampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kecemerlangannya dalam kepimpinan akan memberi manfaat besar kepada warga Penampang.


“Sekiranya ada report card wakil-wakil rakyat di Sabah, saya percaya Ewon mendapat keputusan cemerlang berdasarkan pencapaian terbaiknya walaupun dalam tempoh yang singkat dalam kerajaan dan diteruskan sehingga kini sebagai Adun Kadamaian di luar kerajaan.


“Semasa menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, dalam tempoh dua tahun, beliau juga telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada kementerian itu dan penjawat awam.

“Sebab itu, saya amat bangga dan gembira beliau dicalonkan di sini (Penampang). Beliau adalah ikon pemimpin muda dalam era politik baharu di Malaysia,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ramah Mesra Bersama Calon Pakatan Harapan Penampang Datuk Ewon Benedick, di Kg.Tindai Kolopis, di sini, hari ini.


Donald yang juga bekas Ahli Parlimen Penampang turut mengakui, Ewon seorang pemimpin muda yang mempunyai ‘political will’.


“Saya melihatnya membesar dalam politik bermula sebagai Ketua Komulakan Upko, Naib Presiden dan kini bakal Presiden Parti.


“Walaupun beliau (Ewon) masih muda namun dari segi kepimpinan, beliau seorang yang amat berani, tegas, berpandangan jauh dan amat komited.


“Oleh itu saya menyeru pengundi Penampang supaya memberi peluang kepada Ewon berkhidmat di Penampang,” katanya.