Ewon lancar dana RM100,000 untuk Tabung Bantuan Bencana UPKO
- nabalunews
- Sep 15
- 1 min read

15 September 2025
KOTA BELUD: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick melancarkan Tabung Bantuan Bencana UPKO dengan dana permulaan sebanyak RM100,000 sempena Konvensyen Rakyat Kadamaian di Dewan Terbuka Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, pada majlis itu, UPKO sepatutnya melancarkan jentera pilihan raya Kadamaian, namun ditukar kepada pelancaran tabung bantuan sebagai tanda keprihatinan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di beberapa daerah yang turut meragut nyawa.
“Selaku parti yang prihatin, kita tidak meneruskan pelancaran jentera pilihan raya sebaliknya melancarkan Tabung Bantuan Bencana UPKO dengan dana awal RM100,000.

“Dana ini akan diagihkan kepada bahagian UPKO di daerah terjejas untuk membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menegaskan, tabung itu tidak melibatkan pungutan daripada orang ramai, sebaliknya dimulakan dengan sumbangan dalaman parti.
Konvensyen Rakyat Kadamaian yang diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia itu menghimpunkan lebih 3,000 orang.
Antara pengisiannya termasuk perkongsian kejayaan dan pembangunan yang telah dilaksanakan Ewon di Kadamaian sejak 2018.

Antara projek yang dilaksanakan ialah pembinaan Premis Tamu Desa, Program Penyukatan Tanah PANTAS, projek jalan perhubungan kampung, kemudahan infrastruktur sekolah, bantuan pendidikan, projek kemudahan kecil komuniti kampung, bantuan rumah ibadat serta pelbagai inisiatif dalam bidang keusahawanan dan koperasi.


















Comments