top of page

Ewon lawat pemohon rumah SMJ di Penampang

  • nabalunews
  • 5 minutes ago
  • 2 min read

1 Mac 2026


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick turun padang menemui sendiri beberapa pemohon Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) di sekitar daerah ini dan meninjau keadaan mereka serta keperluan perumahan yang mendesak.


Lawatan kelmarin itu, dimulakan dengan mengunjungi saudara Mathew di Kampung Putaton.


Pemohon rumah SMJ itu bersama empat keluarga lain telah menerima notis daripada Pejabat Pendidikan Daerah Penampang pada Januari lalu untuk mengosongkan rumah sedia ada yang terletak dalam kawasan sekolah dan berpindah ke tapak lain.


Menurut Ewon, beliau difahamkan tapak Sekolah Kebangsaan Putaton sebenarnya merupakan tanah milik keluarga berkenaan yang diserahkan bagi pembinaan sekolah puluhan tahun lalu tanpa sebarang saguhati berikutan dokumentasi yang tidak teratur ketika itu.


“Saya merasakan keluarga ini wajar dihargai dengan sewajarnya. Justeru, saya bersama ADUN Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin, bersetuju supaya lima keluarga yang terlibat diberikan keutamaan untuk menerima Rumah SMJ bagi daerah Penampang tahun ini,” katanya.


Beliau turut meninjau akses jalan raya ke tapak baharu pembinaan Rumah SMJ berkenaan yang memerlukan pembinaan laluan konkrit bagi memudahkan kerja pembinaan serta kegunaan harian penduduk kelak.


Ewon juga bersetuju menyalurkan peruntukan untuk membina sebuah dewan terbuka di SK Putaton. Dewan tersebut dicadangkan dinamakan sempena pemilik asal tanah, Maya, nenek kepada saudara Mathew, sebagai tanda penghargaan atas sumbangan keluarga berkenaan.


Dalam lawatan sama, beliau turut mengunjungi saudari Emmylice di Kampung Kipouvo yang memohon bantuan Rumah SMJ.


Emmylice merupakan seorang ibu tunggal yang menyara anak serta menanggung adiknya yang menjalani pembedahan tahun lalu.


Ewon seterusnya melawat saudara Fazley dan saudara Zulhimimie di Kampung Tampasak yang masih tinggal bersama ibu bapa serta adik-beradik masing-masing yang telah berkeluarga dalam satu rumah.


Lawatan diteruskan ke Kampung Notoruss bagi menemui saudara Doie, diikuti Kampung Kibunut (saudara Verus) dan Kampung Moyog (saudari Julia), yang kesemuanya memohon bantuan Rumah SMJ untuk menggantikan kediaman uzur.


Beliau berharap pembinaan rumah baharu di bawah inisiatif SMJ akan memberikan keselesaan dan kehidupan yang lebih baik kepada semua keluarga terlibat.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page