top of page

Ewon mahu agensi KUSKOP perhebat pembangunan usahawan luar bandar

  • nabalunews
  • 9 hours ago
  • 2 min read
ree

26 Oktober 2025


TELUPID,: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mahu agensi-agensi di bawah kementeriannya memperhebatkan usaha membangunkan usahawan luar bandar dan pedalaman di seluruh negara.


Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan komuniti luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan keusahawanan negara memandangkan mereka berdepan pelbagai cabaran termasuk faktor logistik dan kos operasi perniagaan yang tinggi.


“Saya berharap kemudahan dan peluang yang disediakan kementerian dapat diperluaskan kepada usahawan di kawasan pedalaman dan luar bandar seperti di Mukim Nangoh serta kawasan lain di seluruh negara.


“Saya juga mahu agar KUSKOP dan semua agensinya terus turun ke lapangan termasuk ke kawasan luar bandar dan pedalaman bagi membangunkan gerakan keusahawanan serta koperasi sebagai platform kemajuan ekonomi rakyat dan menangani isu kemiskinan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Mesra Usahawan TEKUN Nasional Telupid di Dewan Kampung Gana Jati, Nangoh, di sini, hari ini.


Ewon berkata, setakat tahun 2025, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM109 juta kepada 2,006 usahawan di seluruh Sabah.


“Daripada jumlah itu, sebanyak RM8.5 juta disalurkan kepada 207 usahawan di daerah Telupid dalam tempoh yang sama,” katanya.


Menurut Ewon, sejak dua tahun lalu, menerusi Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang beliau perkenalkan dalam kementerian pelbagai inisiatif khusus untuk Sabah dan Sarawak diperkenalkan.


“Antaranya, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) oleh Tekun Nasional bagi menyokong peniaga di pasar tamu Sabah dan Sarawak, serta Skim Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP Plus) yang dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia untuk membantu usahawan Bumiputera di kedua-dua negeri berkenaan.


“Selain itu, kementerian turut memperkenalkan Projek Tamu Desa bagi menaik taraf kemudahan dan menyediakan persekitaran lebih selesa kepada usahawan tamu di kawasan luar bandar.


“Di mukim dan kampung tertentu, tamu tradisional masih menjadi nadi ekonomi masyarakat tempatan. Oleh itu, Projek Tamu Desa yang dilaksanakan sejak 2024 akan diteruskan pada tahun ini dan menerima tambahan peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan 2026,” katanya.


Pada majlis itu, Ewon menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Usahawan TEKUN Nasional dan penyerahan pembiayaan kepada usahawan-usahawan tempatan.


Beliau turut mengadakan sesi soal jawab bersama para usahawan berkaitan pembangunan keusahawanan dan koperasi di kawasan itu.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Adam Abd. Hamid; serta ketua-ketua dan pegawai kanan daripada kementerian dan agensi-agensi di bawah KUSKOP.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page