Ewon mahu pembudayaan keusahawanan di kalangan pelajar diperkasakan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon mahu pembudayaan keusahawanan di kalangan pelajar diperkasakan


SIMBOLIK ... Ewon (tengah) merasmikan penutupan Hari Koperasi Sekolah SMK Tansau.

14 September 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu pembudayaan keusahawanan di kalangan pelajar terus diperkasakan melalui penglibatan dalam koperasi sekolah.


Beliau berkata, ini kerana bidang kokurikulum menerusi pelibatan dalam koperasi merupakan ilmu nilai tambah pencapaian akademik yang boleh merubah hala tuju pelajar pada masa hadapan.


Sehubungan itu beliau menyeru para pelajar merebut peluang mempelajari bidang keusahawanan, kepimpinan dan komunikasi menerusi aktiviti koperasi.


“Saya menyokong usaha koperasi sekolah yang berterusan untuk memberikan peluang kepada murid-murid mengenali asas keusahawan.


“Ini amat signifikan dengan Dasar Keusahawanan Negara iaitu menjadikan Malaysia sebagai Negara Keusahawanan menjelang 2030. Dasar ini membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup.


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“Kesinambungan dasar ini mampu menjadikan negara kita menjadi negara berdaya saing di peringkat global. Oleh itu saya berharap koperasi SMK Tansau menjadi salah satu medan melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Hari Koperasi Sekolah (HKS), Koperasi SMK Tansau Berhad, di sekolah itu, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, program tahunan itu penting untuk memperkenalkan koperasi kepada warga sekolah dan masyarakat setempat.


Katanya, ia juga selaras dengan tema sambutan Hari Koperasi iaitu Memupuk Semangat Perpaduan Melalui Aktiviti Keusahawanan Koperasi Sekolah.

“Program ini turut menjadi medan kepada anak-anak murid di sekolah ini mempelajari selok-belok pengurusan dan aktiviti koperasi yang menjadi asas ke arah keusahawanan seterusnya mewujudkan jalinan hubungan dangan agensi-agensi lain.



“Sambutan Hari Koperasi Sekolah dapat memupuk kepimpinan dan keterampilan murid bagi mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani emosi dan jasmani.


“Kemahiran-kemahiran yang dikuasai ini secara tidak langsung menjadi asas melahirkan pemimpin berwibawa yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa depan,” katanya.

Koperasi SMK Tansau merupakan salah satu koperasi sekolah terbaik di Sabah yang mendapat pengiktirafan lima bintang di peringkat kebangsaan.


Kehebatan itu diterjemahkan menerusi pelbagai kejayaan yang dicapai saban tahun mengangkat nama Koperasi SMK Tansau.


Deretan kejayaan yang dilakar oleh SMK Tansau antaranya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan MyCoop Video Pitch peringkat kebangsaan sempena Jubli Emas ANGKASA 2021 dan mendapat naib johan bagi kategori pembentang terbaik pertandingan.



Rentak kejayaan diteruskan lagi pada 2022 dengan mendapat naib johan dalam anugerah Hari Koperasi Terbaik peringkat negeri serta mendapat tempat ketiga dalam Anugerah Guru Pembimbing Koperasi Sekolah terbaik peringkat kebangsaan.


Pada tahun 2023, pencapaian cemerlang terus diraih oleh Koperasi SMK Tansau dengan mendapat tempat ketiga dalam Anugerah Pamer Keunggulan Pembangunan Kelab dan Persatuan Cemerlang peringkat negeri dan mewakili Malaysia dalam Asia Pasific Cooperative Youth Summit ( APYS).


Semasa sidang kemuncak ini, dua guru dan dua murid turut diberi kepercayaan untuk membuat pembentangan, seorang guru sebagai peserta dan dua orang murid sebagai sukarelawan.

Ewon merakamkan ucapan penghargaan kepada Koperasi SMK Tansau atas kejayaan melangkah sehingga ke peringkat antarabangsa.



“Tidak terhenti setakat itu, program lawatan pengantarabangsaan koperasi sekolah turut dilaksanakan ke Indonesia. Saya kagum dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh sekolah ini untuk memperkasakan koperasi sekolah.


“Saya turut difahamkan Koperasi SMK Tansau Berhad akan melabuhkan saingan dalam Young Entrepreneur Strive For Success (YESS), mempertaruhkan produk terbaharu iaitu ‘Solid Balm’ dengan pasukan koperator yang sudah semestinya mantap,” katanya.


Beliau berharap, koperasi sekolah itu yang diwakili oleh pasukan Tanda Kasih SeMesTa akan melakar kejayaan dalam saingan tersebut.



bottom of page