Ewon mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional

𝟲 𝗦𝗘𝗣𝗧 𝟮𝟬𝟮𝟯

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) kali ke-2, di Menara Kembar Bank Rakyat, kelmarin.


Beliau berkata, input daripada mesyuarat itu akan diselaraskan untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan PMKS dan Usahawan Kebangsaan (MPUPK) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada 11 Oktober ini.


“Saya berharap semua ahli mesyuarat MPKN dapat bersama-sama berganding bahu dan berusaha menggalas visi menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul dan komited mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif.

 

“Kementerian sentiasa terbuka dan konsisten membangunkan usahawan yang lebih cekal, berdaya maju, proaktif, kompetitif dan inovatif serta berupaya menampan situasi di luar jangkaan pada masa hadapan,” katanya ketika berucap mempengerusikan mesyuarat itu.


Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional dibentuk sebagai platform utama bagi mewujudkan kerjasama yang kolektif di antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan semua pihak berkepentingan di peringkat persekutuan dan negeri.


Ini bagi memastikan pelaksanaan strategi dan inisiatif yang digariskan di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) akan memberi impak positif kepada ekosistem keusahawanan di negara ini.

MPKN juga bertujuan membentuk persekitaran yang lebih ideal bagi melahirkan usahawan yang berjaya dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.


Mesyuarat itu dihadiri wakil-wakil kementerian negeri Sabah dan Sarawak, unit perancang ekonomi negeri serta perbadanan kemajuan ekonomi negeri.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato' Sri Suriani Dato' Ahmad.

Selepas itu Ewon menerima kunjungan daripada Women Leadership Foundation untuk membincangkan hal ehwal pembangunan wanita.

bottom of page