Ewon pastikan semua projek pembangunan di Kadamaian berjalan lancar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon pastikan semua projek pembangunan di Kadamaian berjalan lancar


Ewon bersama sebahagian ahli UPKO pada program itu.

11 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata beliau akan berusaha sedaya upaya memastikan semua projek pembangunan atau pelan pembangunan di Kadamaian yang dirancang sebelum ini berjalan lancar.


Beliau berkata, walapun beliau di luar kerajaan ketika ini namun ia tidak bermakna kawasan pembangkang tidak menerima peruntukan atau pembangunan daripada kerajaan.


Katanya, ini kerana tanggungjawab kerajaan semasa adalah meneruskan apa sahaja projek pembangunan yang telah dirancang dan diluluskan oleh kerajaan sebelumnya.


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“Kerajaan akan tetap menyalurkan peruntukan pembangunan atau meneruskan projek-projek pembangunan yang telah diluluskan kerajaan terdahulu di kawasan pembangkang kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan.


“Semua peruntukan kerajaan seperti penaiktrafan jalan raya, pembangunan sekolah dan sebagainya masih berjalan seperti biasa sebab kerajaan bertanggungjawab menyediakan keperluan dan pembangunan kepada seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik.


“Apa yang membezakan wakil rakyat pembangkang dan kerajaan ialah agihan peruntukan Adun yang tidak diserahkan kepada Adun Pembangkang tetapi kepada Pejabat Daerah atau Pejabat Pembangunan UPPM setiap kawasan dan diselia oleh Adun Kerajaan,” katanya.


Ewon menerima resolusi mesyuarat agung cawangan UPKO Nahaba.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program PDM Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Nahaba di Dewan Eko Pelancongan 3V Nahaba, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Naib Presiden UPKO berkata, setiap kali persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sama ada dalam ucapan perbahasan atau soalan lisan dan soalan bertulis beliau sentiasa bertanya perkembangan projek-projek pembangunan di Kadamaian.


“Dalam persidangan DUN lalu, saya dimaklumkan dalam jawapan bertulis daripada Kementerian Kerja Raya Sabah bahawa Jalan Nahaba Sayap Mansulit dan Jalan Tambulaung Podos Gensurai telah disenaraikan dalam Rolling Plan 1 (RP1), 2021-2022 di bawah RMKe-12, 2021-2025.


“Berdasarkan jawapan Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Bung Mokhtar Radin, ia dalam proses perolehan,” katanya.


Sebahagian daripada ahli UPKO yang hadir.

Dari segi keperluan penduduk Kadamaian, Ewon berkata beliau sentiasa menyokong program-program kemasyarakatan, kebajikan dan gotong-royong anjuran penduduk kampung.


“Walaupun saya tidak menghadirinya namun ia tidak bermakna saya tidak memberi sokongan, sebaliknya saya sentiasa menghulurkan sumbangan untuk menjayakan program berkenaan.


“Oleh itu saya mengalu-alukan penduduk kampung melaksanakan program gotong-royong untuk kebaikan kampung dan juga mengalu-alukan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya.


“Ketika ini saya berada di luar kerajaan tetapi kita masih meneruskan kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan menjalankan apa sahaja program kemasyarakatan di Kadamaian,” katanya.



bottom of page