Ewon perkenal beberapa prinsip pendekatan baharu sebagai Presiden UPKO yang baharu
15 Januari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang baharu, Datuk Ewon Benedick memperkenalkan beberapa prinsip pendekatan baharu untuk meneruskan perjuangan, perkhidmatan dan memantapkan lagi parti itu.
Beliau berkata, antara pendekatan itu ialah ‘common-sense leadership’ dan melaksanakan perkara yang betul dengan cara yang betul.
“Parti kita sudah dikenali dengan pendekatan principled oriented leadership yang didukung oleh Tan Sri Bernard dan diperkasakan dengan pendekatan servanthood leadership oleh Datuk Seri Madius.
“Kini, saya akan meneruskan pendekatan-pendekatan kepimpinan selama ini dengan memperkasakannya melalui pendekatan common-sense leadership yang perlu didukung bermula daripada rumah kita, UPKO, kerana saya percaya dengan leadership begin at home (kepimpinan bermula di rumah).
“Common sense leadership mengajak kita mendengar, melihat, merasa, menghidu, menganalisa, memikir dan menjiwai semua isu, cabaran, peluang dan risiko ke atas satu-satu isu yang berada di hadapan kita.
“Setiap keputusan yang dibuat mestilah boleh dipertahankan berasaskan kepada amalan menjunjung yang benar, menyangkal yang salah dan meneruskan apa yang wajar,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Parlimen Penampang menyampaikan ucapan secara maya kerana menghadiri majlis rasmi Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Seri Perdana Putrajaya, hari ini.
Ewon berkata selaras dengan matlamat penubuhan parti, pendekatan melaksanakan perkara yang betul dengan cara yang betul akan membantu mencapai halatuju perjuangan dan kepimpinan parti.
“Dalam semangat membara kita meneruskan perjuangan dan perkhidmatan parti sesuai dengan matlamat penubuhan parti, we must do the right things the right way.
“Saya mahu meraikan demokrasi di dalam parti. Kepimpinan saya tidak akan sempurna dan saya bersedia menerima teguran serta kritikan sepanjang memimpin parti ini.
“Saya menghargai setiap teguran dan kritikan yang disertai dengan cadangan dan motivasi kerana itulah cara yang betul untuk memperbetulkan kelemahan,” katanya.
Beliau juga bertekad untuk terus bekerja keras dan mengamalkan prinsip diplomasi sepanjang masa dalam kepimpinan.
“Saya akan bersahabat dengan banyak parti tanpa menjejaskan prinsip dan tujuan saya dalam parti ini. Saya mahu mewariskan kesetiaan dan kecekalan berserta dengan kualiti perkhidmatan, kerja keras dan prinsip perjuangan sebagai legasi kepada ahli-ahli parti dan rakyat jelata,” katanya.
Ewon turut mengalu-alukan semua yang pernah menjadi ahli UPKO supaya kembali menjadi ahli parti itu dan meneruskan perjuangan membela rakyat melalui UPKO.
“Mari terus membina rumah ini (UPKO) bersama-sama sebagai satu keluarga yang demokratik, progresif, berprinsip, berdiplomasi dan berkepimpinan yang berkualiti,” katanya.
Comments