Ewon rasmi Co-Opbank Pertama (CBP) Cawangan Papar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon rasmi Co-Opbank Pertama (CBP) Cawangan Papar

10 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PAPAR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick merasmikan Co-Opbank Pertama (CBP) Cawangan Papar, di Parlane City Benoni, di sini, hari ini.


Ewon turut merasmikan Bank Bergerak CBP yang diperkenalkan buat pertama kali di Sabah.


Beliau berkata, ini merupakan satu inisiatif untuk memberi kemudahan kepada penduduk sekitar kawasan Papar bagi urusan perbankan.


Katanya, menerusi perkhidmatan Bank Bergerak ini, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang sama ditawarkan di kaunter cawangan CBP seperti deposit, simpanan dan juga menandatangani pembiayaan.


"Sempena majlis ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Co-opBank Pertama (CBP) turut menganjurkan Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP).


"Program ini merupakan satu platform untuk menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan gerakan koperasi kepada orang awam.


"KUSKOP berharap mesej untuk membudayakan koperasi dalam kalangan setiap lapisan masyarakat dapat diperkukuhkan dan menjadikan koperasi sebagai gaya hidup dalam menangani kos sara hidup yang semakin tinggi," katanya.


KUSKOP sebelum ini telah melaksanakan beberapa Program MASKOP dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).


Pada kali ini, MASKOP dilaksanakan secara bersama dengan CBP untuk mengetengahkan CBP sebagai salah satu koperasi premier. Antara pengisianmenarik ialah sesi libat urus daripada SKM dan IKMa bagi menerangkan fungsi dan peranan masing-masing dalam membangunkan sektor koperasi.


Selain itu, satu sesi taklimat daripada CBP juga disediakan bagi menerangkan kepada para jemputan berkenaan kebaikan dan manfaat berkoperasi dengan menjadi ahli koperasi CBP.


Ewon berkata, Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) turut diadakan dengan tawaran potongan harga sehingga 30 peratus bagi barangan keperluan asas harian seiring dengan elemen “Kesejahteraan” Malaysia MADANI.


"Diharapkan penggemblengan tenaga dan usaha agensi-agensi kerajaan, koperasi dan usahawan yang terlibat dalam program ini akan mencapai matlamat untuk menjayakan visi KUSKOP iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul yang bersatu dan makmur," katanya.


Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Haji Zamri Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

bottom of page