top of page
Wartawan Nabalu News

Ewon rasmi Stesen Minyak PCS pertama milik koperasi di Persimpangan Bapom, Jalan Bau-Lundu

Ewon mengisi minyak motorsikal sebagai simbolik perasmian Stesen Minyak PCS.

16 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUCHING: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pembukaan Stesen Minyak PCS (Petronas ROVR) di Persimpangan Bapom, Jalan Bau-Lundu, di sini, memudahkan masyarakat pedalaman di kawasan itu mendapatkan bekalan minyak petrol.


Selain itu katanya, ia juga membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat yang kebanyakannya golongan B40.


“Di Sarawak, isu bekalan minyak petrol di kawasan pendalaman merupakan satu isu yang sangat kritikal di mana pengguna amat sukar mendapatkan bekalan minyak petrol untuk kegunaan harian seperti kegunaan kenderaan, mesin-mesin pertanian dan bot-bot kecil nelayan disebabkan tiada stesen minyak di kawasan luar bandar.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“Saya difahamkan stesen minyak terdekat terletak 25 kilometer dari sini. Oleh itu dengan adanya stesen ini dapat memudahkan masyarakat setempat mendapatkan bekalan minyak petrol untuk kegunaan harian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Stesen Minyak PCS (Petronas ROVS) Koperasi Permodalan Salcra Sarawak Berhad, di Persimpangan Bapom, Jalan Bau-Lundu, di sini, hari ini.


Ewon berkata, larangan pihak berkuasa menjual minyak petrol dalam botol terutamanya di kawasan luar bandar menyukarkan penduduk mendapatkan bekalan petrol.


Katanya, kesempatan itu diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menjual minyak di kawasan luar bandar dengan harga yang sangat tinggi disebabkan permintaan penduduk yang terdesak mendapatkan belakan petrol.


“Impak langsung memberi kesan membimbangkan akibat ketirisan dan subsidi yang diperuntukkan oleh kerajaan juga tidak dapat dinikmati terus oleh rakyat secara bersasar,” katanya.


Beliau berkata, bagi mengatasi isu itu kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Petronas Dagang Berhad mewujudkan stesen minyak mini atau kaedah Portable Container System (PCS) ROVR bagi memberi kemudahan kepada rakyat mendapatkan bekalan minyak petrol.


Ewon turut memuji usaha Koperasi Permodalan SALCRA Sarawak Berhad bersama SKM Cawangan Negeri Sarawak kerana mengambil langkah proaktif bekerjasama dengan Petronas ROVR untuk mewujudkan Stesen Minyak PCS ROVR pertama dimiliki dan diuruskan oleh koperasi di Sarawak.


“Inilah semangat perpaduan antara kerajaan dan komuniti melalui koperasi yang ingin kita jelmakan dalam satu jalinan inisiatif secara bersama merentasi ruang lingkup dan sempadan melalui agenda Malaysia Madani,” katanya.


Beliau berkata, dengan pembukaan lebih banyak Stesen Minyak PCS milik Koperasi, akan membantu masyarakat luar bandar mendapatkan bekalan minyak petrol dengan harga yang sama dengan di kawasan bandar.

“Saya berharap kerjasama antara SKM dan Petronas ROVR melalui Petronas Dagang Berhad ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan. Adalah menjadi hasrat dan harapan KUSKOP dan SKM untuk koperasi berjaya dalam aktiviti berimpak tinggi seperti ini,” katanya.


Turut hadir, Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Anak Bimol, Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Umar Sarim, Pengarah SKM Negeri Sarawak Liew Liuk Chim, Pengerusi Koperasi Permodalan Salcra Sarawak Berhad Dabrin Peter Kini, ketua-ketua agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan anggota koperasi.



Comments


bottom of page