Pesawah diberi pendahuluan RM200 sehektar insentif bajak
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

5 Mei 2026
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk membayar wang pendahuluan RM200 sehektar iaitu sebahagian daripada kadar Bantuan Khas Insentif Pembajakan kepada 240,000 pesawah berdaftar di seluruh negara bagi membolehkan penanaman padi musim ini terus beroperasi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya hari ini dan akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM48 juta.
“Mesyuarat tadi bersetuju untuk membayar wang pendahuluan Kadar Khas Insentif Pembajakan mereka terpaksa sewa mesin bajak. Jadi program pembajakan itu mesti diteruskan juga, tetapi mereka perlukan modal.
"Jadi oleh itu, kita berpendapat lebih baik diberikan pendahuluan RM200 supaya mereka boleh terus bergerak menjalankan kegiatan penanaman padi," katanya dalam sidang media Krisis Bekalan Global yang disiarkan pada Selasa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan amat prihatin terhadap cabaran semasa yang dihadapi pesawah susulan kenaikan kos bahan api dan input pertanian berikutan konflik di Asia Barat.
Sehubungan itu, katanya kerajaan meningkatkan kadar Bantuan Khas Insentif Pembajakan daripada RM160 kepada RM300 sehektar ekoran kenaikan kos diesel komersial.
Ia seperti diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada 14 April lepas.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan akan terus mencari ikhtiar bagi meringankan beban dan kos yang dihadapi rakyat ketika negara berdepan krisis bekalan global.















Comments