Ewon salur lebih RM100,000 laksana gotong-royong komuniti Kadamaian sepanjang 2021

24 Feb 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick telah mengagihkan lebih kurang RM100,000 peruntukan bagi menjayakan program gotong-royong komuniti melibatkan hampir 30 buah kampung kawasan itu setakat Disember tahun lalu.
Pegawai Perhubungan Adun Kadamaian Dr.Rizoh Bosorang berkata, sumbangan gotong-royong melibatkan komuniti setempat sebagai usaha memenuhi keperluan penduduk kampung sementara menunggu kelulusan pelaksanaan projek pembangunan dari pihak kerajaan.
“Pendekatan gotong-royong sangat membantu memupuk semangat kerjasama dan kesatuan dalam kalangan penduduk menangani permasalahan, khususnya kemudahan komuniti.
“Selain, sumbangan ADUN bagi program gotong-royong, Kadamaian juga menerima dukungan dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) melalui pelaksanaan projek pembangunan komuniti secara bergotong-royong atau usaha sama, sama ada bagi pembangunan sosio-ekonomi atau penambahbaikan kemudahan komuniti,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.

Rizoh berkata, antara kampung yang berjaya melaksanakan gotong royong sejak awal tahun 2021 sehingga kini ialah Kampung Melangkap Tomis, Melangkap Nariou, Panggi Kelawat, Tamalang Taginambur Jaya, Sukang Kelawat, Melangkap Tomis, Melangkap Kapa, Lompios, Terintidon, Lasau Podi, Bundu Paka, Gansurai, Tuguson, Bayayat, SIB Piasau, Talungan, sayap, Nahaba, Podos, Lahanas, Gaur, Rangalau, Ponopuan Kelawat dan Bundu Paka.
“Pada tahun 2020, tidak banyak program gotong-royong dapat dilaksanakan kerana kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan Covid-19.
“Selain itu banyak kampung di kawasan Kadamaian terlibat dalam perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) menyebabkan aktiviti komuniti seperti gotong-royong agak terhad sepanjang tahun 2020,” katanya.
Comments