Ewon Salur Sumbangan RM30,000 Untuk Naik Taraf Rumah Pastor SIB Bamban, Sipitang
- nabalunews
- Sep 28
- 2 min read

28 September 2025
SIPITANG: Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Sipitang, Datuk Pengiran Lalung, menyempurnakan penyerahan wang tunai RM30,000 kepada Gereja SIB Bamban, di sini, yang disumbangkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick
Sumbangan diserahkan kepada Pengerusi Gereja SIB Bamban, Pta Jimmy Mores Sulaiman, khusus untuk tujuan menaik taraf rumah pastor yang menjadi kediaman rasmi pemimpin rohani gereja berkenaan.
Penyerahan sumbangan itu merupakan manifestasi keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam memastikan kesejahteraan masyarakat setempat sentiasa menjadi keutamaan, di samping usaha berterusan untuk mendekati rakyat di pelbagai lapisan.

Datuk Pengiran dalam ucapannya menegaskan, bantuan berkenaan diharap dapat memberi manfaat besar bukan sahaja kepada pastor bertugas, malah kepada seluruh warga gereja yang bergantung kepada kemudahan itu untuk kelancaran pelayanan dan program komuniti.
“Sumbangan ini diharap dapat membantu meningkatkan kemudahan dan keselesaan rumah pastor demi kesejahteraan pelayanan gereja serta manfaat kepada seluruh komuniti SIB Bamban.
“Peruntukan RM30,000 ini adalah peruntukan khas menteri yang diluluskan semasa beliau melawat gereja ini awal tahun ini atas jemputan UPKO Sipitang,” katanya.
Datuk Pengiran menegaskan, UPKO akan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan sosial, sejajar dengan prinsip parti yang mengutamakan kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang agama, budaya atau etnik.
Katanya, beliau turut merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Datuk Ewon Benedick atas perhatian khusus yang sentiasa diberikan kepada masyarakat Sipitang.
Katanya, sokongan berterusan kepimpinan pusat parti menjadi pendorong kepada UPKO Bahagian untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.
“Komitmen yang ditunjukkan oleh YB Datuk Ewon Benedick membuktikan keprihatinannya yang sentiasa berusaha memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
“Saya turut berharap agar sumbangan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak projek pembangunan komuniti pada masa hadapan, termasuk dalam aspek infrastruktur, pendidikan dan kebajikan sosial di daerah Sipitang,” katanya.


















Comments