Ewon santuni penduduk empat kampung di Kadamaian sempena Kaamatan
- Wartawan Nabalu News
- Jun 2, 2025
- 1 min read

2 Jun 2025
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyantuni penduduk di empat kampung dalam kawasan Kadamaian menerusi pelbagai program sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Perasmian Premis Tamu Desa.
Beliau menghadiri sambutan Pesta Kaamatan di Kg.Pinasang Tamu Darat, kemudiannya di Kg.Ratau, Kg.Piasau dan Kg.Tegudon.
Di Kg.Pinasang Tamu Darat, Ewon turut merasmikan Premis Tamu Desa Tamu Darat bernilai RM250,000 yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Dalam program berasingan di Kampung Ratau, beliau menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih kepada Badan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebanyak RM10,000 bagi pembelian kerusi dan meja untuk kemudahan komuniti setempat.
Beliau turut bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM30,000 daripada peruntukan menteri bagi menyelenggara Balai Wanita di kampung itu.
Di Kg.Piasau, Ewon menyampaikan sumbangan daripada Sentuhan Kasih Adun Kadamaian sebanyak RM20,000 untuk keperluan Pertubuhan Tindal Bersatu Sabah (USTO) dan RM10,000 untuk tabung badan JKKK Kg.Piasau.

Beliau turut menyampaikan peruntukan RM10,000 kepada badan JKKK Kg Tegudon.
Ewon berkata, program seumpama ini adalah platform penting untuk mendekati rakyat, selain mendengar keperluan mereka.
“Sambutan Kaamatan bukan setakat perayaan kebudayaan, tetapi peluang mengukuhkan perpaduan, menyatukan rakyat pelbagai kaum dan mengeratkan silaturahim,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam memperkasakan ekonomi komuniti usahawan menerusi pelbagai skik pembiayaan.
















Comments