Ewon sedia galas tanggungjawab sebagai Presiden UPKO
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon sedia galas tanggungjawab sebagai Presiden UPKO



Datuk Ewon Benedick

28 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, beliau bersedia menggalas tanggungjawab sebagai Presiden UPKO yang baharu.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, walaupun ia satu tanggungjawab yang besar dan mencabar namun beliau yakin dapat memikulnya dengan semangat perjuangan semua ahli parti.


“Saya menyertai parti ini pada tahun 2005 dan telah melihat peralihan kepimpinan yang pertama daripada Tan Sri Bernard Dompok kepada Datuk Madius dan pada hari ini saya pula menggalas tanggungjawab besar ini.


“Saya tahu cabaran ini tetapi berasaskan semangat kekitaan dalam UPKO selama ini, saya percaya tanggungjawab ini bukan hanya dipikul oleh presiden semata-mata tetapi dipikul oleh keseluruhan ahli parti khususnya yang duduk dalam kepimpinan Majlis Tertinggi,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perjumpaan Khas bersama Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Ketua-ketua Bahagian UPKO, di Ibu Pejabat UPKO Penampang, di sini, hari ini.


Ewon (tengah) pada sidang media itu.

Terdahulu itu Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan sebagai presiden pada pemilihan parti kali ini bagi memberi laluan kepada Ewon.


Ewon berkata, cabaran besar yang dilalui selama ini dalam parti akan dijadikan pedoman untuk terus menerajui UPKO sebagai sebuah parti peneraju perjuangan rakyat Sabah.


“Saya melihat cabaran sebesar mana pun yang kita pernah lalui, saya percaya pengalaman itu akan mendewasakan kita dan UPKO kepada peralihan baru dan juga kepada politik yang sangat kompleks dan dinamik di Sabah dan Malaysia ketika ini.


“Saya sanggup dan sedia menggalas cabaran yang diberikan oleh pucuk pimpinan parti kepada saya seperti yang diumumkan Datuk Madius,” katanya.


bottom of page