Ewon sediakan peruntukan RM650,000 untuk gereja-gereja Kadamaian
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon sediakan peruntukan RM650,000 untuk gereja-gereja Kadamaian

Ewon (duduk tengah) bergambar bersama wakil-wakil gereja kawasan Kadamaian selepas kunjungan itu.

8 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM500,000 dan peruntukan pentadbiran sebanyak RM150,000 untuk gereja-gereja di kawasan Kadamaian pada tahun ini.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, bagi peruntukan pentadbiran tersebut, RM100,000 adalah menggunakan peruntukan touchpoint beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan RM50,000 lagi daripada peruntukan khas beliau sebagai menteri.


"Selain peruntukan pentadbiran tersebut, sebanyak RM500,000 lagi daripada peruntukan ADUN saya dikhususkan untuk pembangunan projek kecil kemudahan berkaitan gereja seperti dewan terbuka, jalan konkrit, bangunan gereja, rumah sidang dan kerusi," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan daripada Majlis Gereja-Gereja kawasan Kadamaian iaitu Gereja Sidang Injil Borneo (SIB), Gereja Seventh-day Adventis (SDA) dan Gereja Roman Catholic (RC), di Pusat Khidmat Adun Kadamaian, Skyblue Piasau, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Gereja SDA kawasan Kadamaian Pastor Chaldie Lauran merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas keprihatinan  dan sokongan berterusan terhadap pembangunan rumah-rumah ibadat khususnya gereja di kawasan Kadamaian.


“Mewakili gereja SDA kawasan Kadamaian, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Datuk Ewon atas bantuan yang diberikan kepada gereja-gereja bahagian Kadamaian.


“Sumbangan ini  bukan hanya membantu secara kewangan tetapi juga memberikan dukungan dan harapan yang sangat bermakna buat gereja-gereja di Kadamaian.


“Kami amat berbangga mempunyai pemimpin dan wakil rakyat seperti beliau,” katanya.


Pada hari ini, Ewon meluangkan masa Hari Bertemu Pelanggan di kawasan Kadamaian untuk menyantuni wakil-wakil penduduk, persatuan dan sekolah.

bottom of page