Ewon seru pemimpin dan rakyat bersatu majukan Penampang
- nabalunews
- 9 hours ago
- 1 min read

3 Januari 2026
PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata kerjasama serta perpaduan antara pemimpin dan rakyat Penampang merupakan kunci utama dalam usaha memajukan daerah ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, ini penting bagi mencari jalan penyelesaian pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi penduduk daerah ini khususnya masalah banjir dan kesesakan lalu lintas.
“Saya menyeru rakyat khususnya barisan kepimpinan supaya terus bersatu padu dalam membangunkan Penampang sebagai sebuah daerah yang membangun dalam sektor perindustrian, perniagaan dan kesejahteraan rakyat.
“Sekiranya kita bekerjasama, saya yakin pembangunan Penampang dan semua isu dapat ditangani dengan lebih baik.
“Ini kerana setiap pihak mempunyai peranan masing-masing dan saling melengkapi diantara satu sama lain dalam memastikan pembangunan Penampang dan Sabah terus berada pada tahap yang boleh dibanggakan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Krismas dan Tahun Baharu serta Perasmian Tamu Desa Ramayah di Dewan Raya Kg.Ramayah, di sini, hari ini.
Ewon turut menegaskan bahawa Penampang perlu terus membangun dan bersaing dengan Bandaraya Kota Kinabalu, kerana daerah ini berpotensi menjadi bandar kedua kepada Kota Kinabalu.
“Kini Penampang telah dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran, justeru aspek perkhidmatan awam akan terus dipantau oleh rakyat. Tugas kita ialah memastikan setiap perkhidmatan dan kepimpinan terus berada ditahap yang terbaik,” katanya.
Ewon juga memberi jaminan bahawa sebagai Ahli Parlimen Penampang, beliau akan terus memperjuangkan dan mengangkat isu-isu berkaitan daerah itu di Dewan Rakyat.
Turut hadir, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog Datuk Donald Peter Mojuntin, Presiden Majlis Perbandaran Penampang Noemi Dyena John dan para pemimpin setempat.


















Comments