Ewon Sumbang Kerusi Gereja, Teruskan Tradisi Bantu Semua Lapisan Masyarakat
- nabalunews
- 1d
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
9 Mac 2026
KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, terus menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan masyarakat di kawasannya dengan menyalurkan sumbangan kepada Gereja Yesus Benar di Kampung Pinolobuh, Kota Belud.
Sumbangan berupa kerusi panjang untuk kegunaan jemaah gereja telah disampaikan secara simbolik oleh Pegawai Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Joel Ewel Deukin, yang mewakili Ewon.
Menurut Joel, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian dalam memastikan kemudahan asas di rumah ibadah sentiasa terbela.
"Bukan sahaja gereja, tetapi pelbagai institusi seperti masjid, surau, dan sekolah juga turut menerima perhatian. Malah, pelbagai program touchpoint seperti bantuan kelahiran dan takziah telah pun dilaksanakan sejak beliau menjadi wakil rakyat Kadamaian pada tahun 2018," jelas Joel.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan ringkas sumbangan berkenaan. Joel turut berharap agar sumbangan itu dapat memberikan sedikit keselesaan kepada komuniti setempat semasa menunaikan kewajiban keagamaan.















Comments