top of page

Ewon sumbang lembu korban kepada 9 masjid di Kadamaian sempena Aidiladha

  • Wartawan Nabalu News
  • 9 hours ago
  • 1 min read

6 Jun 2025


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan lembu korban kepada sembilan masjid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.


Majlis penyerahan sumbangan kepada semua wakil masjid dan surau itu diadakan di perkarangan Pusat Khidmat Adun Kadamaian, di sini, hari ini.


Ewon berkata, penyampaian sumbangan sempena sambutan perayaan keagamaan adalah acara tahunannya sejak menjadi wakil rakyat di kawasan itu.


“Saya telah memulakan penyampaian sumbangan kepada semua masjid, surau dan gereja sempena perayaan seperti Hari Raya, Hari Raya Aidiladha dan Krismas.


“Saya akan teruskan acara ini setiap tahun untuk menyemarakkan lagi semangat perpaduan, keharmonian dan persaudaraan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu.

Ewon berkata, ini adalah tanda keprihatinan dan perpaduan kepada semua lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama di kawasan ini.


Sementara itu wakil Masjid Abu Bakar Kampung Lobong Lobong, Mohd Nizam Al Hafiz Kasiman berkata, sumbangan itu amat dihargai oleh penduduk Muslim kampung itu.


“Saya mewakili penduduk Muslim Kampung Lobong Lobong mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Ewon. Kami amat menghargai keprihatinan beliau yang tidak memilih bangsa atau agama dalam kepimpinan dan bantuan yang diberikan,” katanya.


Wakil Masjid Kg Tambulion, Fandi Rajin berkata, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan Datuk Ewon terhadap kepelbagaian komuniti dalam kawasan yang diwakilinya.


“Saya percaya acara seumpama ini dapat memperkukuhkan nilai kebersamaan dan perpaduan rakyat,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, urusetia Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang turut menyampaikan sumbangan korban kepada enam jawatankuasa masjid dan surau dalam kawasan Parlimen Penampang.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page