top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon teruskan pendekatan gotong-royong bantu keperluan penduduk


Ewon meninjau pondok perkuburan yang telah hampir siap dibina.

2 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick meneruskan pendekatannya membantu keperluan penduduk melalui pembudayaan gotong-royong.


Bersempena cuti Tahun Baharu Cina, beliau turun padang menyantuni penduduk Kg Gaur yang bergotong-royong membina pondok dan bergotong-royong membersihkan kawasan perkuburan Adventist di kampung tersebut.


Ewon menyampaikan sumbangan membiayai kos jentera bagi membaikpulih jalan pertanian kampung.

“Pada penghujung tahun lepas, saya telah dimaklumkan mengenai keperluan penduduk ini, iaitu membina sebuah pondok di kawasan perkuburan Adventist kampung ini. Seterusnya saya telah menyalurkan sumbangan touchpoint untuk pembeliaan bahan-bahan binaan serta keperluan lain berkaitan gotong-royong yang diadakan hari ini.


"Saya ucapkan tahniah kepada para penduduk kerana dapat bersatu hati menjayakan keperluan mereka ini melalui gotong-royong.


“Di kawasan Kadamaian, komuniti di sini mengambil peluang cuti umum bagi menganjurkan aktiviti-aktiviti di kampung masing-masing seperti gotong-royong, sukan dan majlis resepsi. Saya memilih untuk menyantuni penduduk Kg Gaur yang telah menjemput saya hadir ke gotong-royong ini,” katanya.


Ewon menyantuni penduduk yang hadir bergotong-royong.

Semasa kunjungan Ewon tersebut, beliau turut dimaklumkan mengenai keperluan menyelenggara jalan pertanian bagi mengangkat hasil torehan getah yang telah rosak teruk di mana para petani yang menggunakannya telah memulakan pungutan derma bagi membayar kos jentera.


Ewon kemudiannya menyampaikan sumbangan beliau sebanyak RM1050 bagi membayar keseluruhan kos jentera yang diperlukan bagi membaikpulih jalan tersebut.


Ewon diberi taklimat oleh Jaintin mengenai aktiviti gotong-royong yang sedang berjalan.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Jaintin Molondoi menyatakan penghargaan penduduk di atas sumbangan dan komitmen berterusan Ewon untuk membantu keperluan penduduk meskipun berada di luar kerajaan pada ketika ini.


“Ewon telah melakukan yang terbaik yang mampu dilakukannya, konsisten dengan pendirian dan pendekatan beliau.


"Kami berharap beliau akan dapat meneruskan pelayanan beliau di kampung ini dan juga kampung-kampung lain di DUN Kadamaian. Kami menghargai sumbangan berterusan beliau yang telah disalurkan bagi membantu keperluan kami,” katanya.

bottom of page