Ewon teruskan program turun padang bantu rakyat susah

14 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick meneruskan program turun padang membantu penduduk yang memerlukan bantuan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, program itu yang dimulakannya sejak dipilih sebagai wakil rakyat Kadamaian kini menjadi program wajibnya setiap kali mengadakan program turun padang di kawasannya.
“Sebaik menerima laporan mengenai keluarga yang memerlukan bantuan, saya mengambil tindakan bersama Pusat Khidmat Adun Kadamaian, Kelab Kebajikan Kadamaian dan Yayasan Bank Rakyat untuk menyampaikan bantuan kepada keluarga berkenaan.

“Pada hari ini, kita telah menyampaikan bantuan berupa katil boleh laras, kerusi roda, bakul makanan dan sedikit wang saku kepada tiga keluarga iaitu daripada Kg.Piasau dan Kg.Tambulion Ulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penyampaian sumbangan di setiap rumah, di Kg.Tambulion Ulu, di sini, hari ini.
Ewon berkata, program penyampaian sumbangan dan kunjungan ke rumah keluarga yang memerlukan bantuan dimulakannya sejak menjadi wakil rakyat Kadamaian.
“Program ini bukan program baharu kerana saya telah melaksanakannya sejak menjadi wakil rakyat Kadamaian dan kini menjadi program wajib saya sepanjang masa setiap kali mengadakan progam turun padang di sini.

“Tahun ini banyak keluarga kita bantu dan ada 20 keluarga lagi telah dikenalpasti menerima bantuan yang sama ada daripada Yayasan Bank Rakyat atau Kelab Kebajikan Kadamaian.
“Saya mendoakan keluarga ini terus sihat dan juga telah memaklumkan kepada mereka, sekiranya ada keperluan pembaikan rumah, menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat untuk mencari jalan penyelesaian membantu mereka,” katanya.

Beliau berharap sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan bebanan keluarga yang menerima bantuan.
Ewon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat dan Kelab Kebajikan Kadamaian kerana membantu menyelesaikan keperluan kebajikan penduduk Kadamaian.
Turut serta dalam kunjungan itu UPPM Kadamaian Saikom Watis, Ketua Perhubungan Pusat Khidmat Adun Kadamaian Carlye Lajimin dan Pengerusi Kelab Kebajikan Kadamaian Shainim Epin.
Comments