Ewon tinjau lapan projek pembangunan kecil di seluruh Penampang
- nabalunews
- Sep 5
- 2 min read

5 September 2025
PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick meninjau lapan projek pembangunan kecil di seluruh Penampang, yang sedang dilaksanakan dan sebahagiannya telah siap sepenuhnya.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sebahagian daripada projek itu dibiayai melalui peruntukan kementeriannya, manakala sebahagian lagi menggunakan peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
“Saya berharap kemudahan yang telah siap dan yang sedang dilaksanakan akan memberi manfaat kepada penduduk kampung apabila siap sepenuhnya.

“Saya komited untuk terus meninjau serta mengambil tindakan bersesuaian bagi menyelesaikan keperluan pembangunan rakyat di kawasan Penampang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Turun Padang meninjau pelaksanaan projek pembangunan. kecil di kawasan Penampang, hari ini.
Antara projek yang ditinjau termasuk pembinaan baharu dewan terbuka di Kg Rugading dan Kg Bokok Kituau, pembinaan Tamu Desa Kg Ramayah, pembinaan benteng hakisan di Kg Sadangon Madsiang serta kerja-kerja pembaikan hakisan tebing sungai di Kg Ramayah.

Selain itu, Ewon turut meninjau beberapa projek pembangunan di gereja-gereja sekitar Penampang, antaranya pembinaan kawasan letak kereta konkrit di Gereja Assumption of Our Lady Kg Sugud, jalan konkrit menuju ke Gereja St Benedict Kg Timpangoh Sugud, serta perbincangan dengan pihak Parok Sacred Heart Inobong mengenai keperluan pembangunan kemudahan gereja di bawah paroki tersebut.
Dalam kunjungan ke Parok Sacred Heart Inobong beliau turut menyerahkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi penganjuran Sukan Sacred Heart Inobong yang akan berlangsung pada 13 September ini, selain menyampaikan tambahan RM20,000 kepada tabung pembangunan Gereja Assumption of Our Lady Kg Sugud.

Ewon berkata, sebagai wakil rakyat kawasan Penampang, selain pembangunan infrastruktur beliau turut memberi perhatian terhadap keperluan pembangunan rumah-rumah ibadat.
Beliau berkata, pembaikan hakisan tebing sungai dan hakisan bukit juga antara keperluan paling mendesak di Penampang.
“Ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk mendapatkan peruntukan secukupnya, agar dapat diselesaikan secara berfasa,” katanya.


















Comments