Ewon umum dua inisiatif Sabah First di MINDET, perkasa syarikat tempatan, ringankan kos logistik
- nabalunews
- 33 minutes ago
- 3 min read

2 Sept 2026
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick mengumumkan dua inisiatif baharu di bawah agenda Sabah First bagi memperkasa syarikat tempatan Sabah serta membantu mengurangkan kos pemain industri logistik.
Beliau berkata, inisiatif pertama melibatkan pengenalan pakej khas pajakan tanah kepada syarikat tempatan Sabah di taman-taman perindustrian, manakala inisiatif kedua ialah pengurangan kadar caj penyimpanan kontena (Container Storage Charge) di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.
Katanya, kedua-dua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) untuk menterjemahkan agenda Sabah First melalui dasar dan kemudahan yang memberi manfaat kepada syarikat serta pemain industri tempatan.
“Pada mesyuarat Kabinet Sabah Rabu minggu lepas, saya telah membentangkan kertas cadangan MINDET supaya pakej khas pajakan kepada syarikat-syarikat tempatan Sabah di taman-taman perindustrian diperkenalkan dan dimudah cara, bermula di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
“Di KKIP, polisi sedia ada ialah kawasan perindustrian dipajakkan untuk tempoh 30 tahun kepada pelabur atau pengilang dan jumlah kadar pajakan atau sewaan perlu dibayar dalam tempoh dua tahun.
“Polisi ini selama ini terpakai kepada semua syarikat termasuk syarikat tempatan Sabah dan ia memberi cabaran besar kepada mereka terutama dari segi aliran modal serta mendapatkan pembiayaan bank yang memerlukan cagaran,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Pengerusi KKIP berkata, menerusi pakej khas itu, syarikat tempatan Sabah yang mahu mengembangkan operasi perusahaan di KKIP tidak perlu membayar keseluruhan jumlah sewaan bagi tempoh 30 tahun dalam tempoh dua tahun, sebaliknya boleh membuat bayaran secara tahunan.
Beliau berkata, Kabinet Sabah telah bersetuju dengan cadangan itu selaras dengan agenda Sabah First.
“Seterusnya, MINDET akan memeterai kerjasama dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) bagi membantu memudah cara keperluan syarikat tempatan Sabah yang memerlukan modal untuk membina kilang atau membeli mesin-mesin kilang.
“Saya mengalu-alukan syarikat tempatan Sabah yang mahu mengembangkan operasi perusahaan mereka di KKIP untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada KKIP susulan keputusan Kabinet ini,” katanya.
Beliau berkata, polisi sedia ada masih terpakai kepada syarikat multinasional, syarikat tersenarai dan syarikat luar negara.
Mengenai inisiatif kedua, Ewon berkata, beliau telah mempengerusikan mesyuarat Task Force Memantau Pelaksanaan 10 Pelan Tindakan Menangani Kesesakan Pelabuhan Kontena Sepanggar pada Jumaat minggu lepas.
Katanya, langkah itu dilaksanakan sementara menunggu projek pembesaran pelabuhan berkenaan siap sepenuhnya yang kini mencapai 65 peratus tahap kemajuan pelaksanaan.
“Susulan libat urus awal dengan Sabah Freight Forwarders and Logistics Association (SAFFLA), Sabah Shipping Agents Association (SSAA) dan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), saya bersetuju supaya kadar penyimpanan kontena dikaji semula dengan maksud untuk dikurangkan daripada kadar yang sedang berkuat kuasa.
“Cadangan kadar baharu telah dibentangkan dan dibincangkan dalam mesyuarat Task Force dan saya telah bersetuju dengan kadar percuma bagi tempoh empat hari pertama berbanding tiga hari yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Ewon berkata, bagi tempoh hari kelima hingga hari ketujuh, kadar baharu untuk kontena sepanjang 20 kaki ialah RM8 bagi kontena kosong dan RM16 bagi kontena berisi.
Bagi kontena sepanjang 40 kaki pula, kadar ditetapkan RM15 bagi kontena kosong dan RM30 bagi kontena berisi.
Katanya, kadar baharu yang lebih rendah daripada kadar semasa itu akan berkuat kuasa mulai 7 September 2026.
“Kadar ini bagi membantu pemain-pemain logistik di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar selain menjadi ‘deterrent charge’ untuk mengelakkan kontena berada terlalu lama di pelabuhan seperti yang pernah berlaku sebelum ini sehingga ada yang mencecah 407 hari,” katanya.
Beliau berkata, LPPS juga telah diminta untuk melupuskan kontena yang melebihi 21 hari selaras dengan punca kuasa di bawah Enakmen LPPS.
Selain itu katanya, KKIP turut menyediakan kawasan parkir bagi treler kontena yang menunggu giliran mengambil kontena di pelabuhan atau bagi treler yang mengeluarkan kontena pada waktu malam tetapi destinasi penghantaran telah ditutup.
Ewon berkata, kedua-dua inisiatif itu mencerminkan komitmen MINDET memastikan pembangunan perindustrian dan sistem logistik Sabah terus diperkasa dengan mengambil kira kepentingan syarikat serta pemain industri tempatan.















Comments