top of page

Ewon yakin kutipan hasil oleh JPDS akan terus meningkat

  • nabalunews
  • 9 hours ago
  • 2 min read

21 April 2026


LABUAN: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick yakin kutipan hasil oleh Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dapat dipertingkatkan pada masa hadapan.


Beliau berkata, pencapaian kutipan hasil melebihi RM40 juta pada tahun 2025 membuktikan keupayaan dan komitmen tinggi warga jabatan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.


“Setinggi-tinggi penghargaan saya kepada pengarah dan seluruh warga JPDS atas pencapaian prestasi yang amat cemerlang membantu Kerajaan Negeri Sabah mencapai kutipan hasil sebanyak RM40,763,969.76 pada tahun lalu.

“Saya berada di kementerian ini lebih kurang lima bulan dan setiap kali ada perbincangan di kementerian, saya lihat komitmen tinggi JPDS, pengarah dan pegawainya untuk hadir serta memberikan pandangan. Sebab itu saya sangat yakin kutipan itu dapat dipertingkatkan lagi.


“Sudah tentu kementerian mempunyai tanggungjawab untuk memastikan peranan dapat disalurkan, supaya bukan hanya kutipan meningkat, tetapi motivasi warga JPDS turut diperkukuhkan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi dan Sanjungan Budi Tahun 2025 JPDS di sini, semalam.

Ewon berkata, pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan kecekapan dan dedikasi jabatan dalam pemungutan hasil negeri, tetapi turut membuktikan peranan penting JPDS sebagai penyumbang signifikan kepada ekonomi Sabah, khususnya dalam sektor maritim.


“Ini adalah semangat Sabah First iaitu meletakkan kepentingan pembangunan negeri, kekuatan ekonomi tempatan dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap tindakan dan keputusan,” katanya.


Beliau menambah, kejayaan itu juga adalah hasil semangat kerjasama dan budaya kerja berintegriti yang menjadi teras kekuatan JPDS.

Ewon turut memuji usaha pendigitalan JPDS melalui aplikasi E-JPDS yang disifatkan sebagai satu langkah ke hadapan dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.


Katanya, inisiatif itu mencerminkan komitmen tinggi ke arah merealisasikan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuh Digital Government.


“Saya berharap JPDS akan terus proaktif meneroka inovasi baharu, memperluaskan penggunaan teknologi digital dan meningkatkan keupayaan warga kerja selari dengan perkembangan semasa,” katanya.


Mengenai majlis itu, Ewon berkata ia adalah platform penting dalam menghargai sumbangan penjawat awam.


“Tahniah kepada tiga penerima Anugerah Khas Pengarah dan 23 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025. Diharapkan penganugerahan ini menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga JPDS,” katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa, kejayaan sesebuah jabatan tidak bergantung kepada individu semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat seluruh pasukan bagi mencapai kecemerlangan bersama.


Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Jonnybone Kurum; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Thomas Logijin; Timbalan Setiausaha Tetap MINDET, Moira David serta Pengarah JPDS, Maswandie Maimoon.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page