top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon, Zaliha bincang pembinaan KK3 Penampang yang tertangguh


9 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Ewon Benedick mengadakan perbincangan dengan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkenaan pembinaan Klinik Kesihatan Kelas 3 (KK3) Penampang yang telah lama tertangguh.


Perbincangan tersebut yang berlangsung pada Sabtu turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah dan pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia.


Ewon menyatakan penyegeraan pembinaan tersebut penting untuk memberi perkhidmatan kesihatan dan rawatan pesakit luar kepada masyarakat Penampang.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan melaksanakan proses perolehan projek tersebut melalui tender pada tahun ini.

“Saya telah menyatakan kepada Dr Zaliha agar kerja-kerja pembinaan tersebut dapat dimulakan pada tahun hadapan sebaik proses perolehan secara tender yang dijangka memakan masa sehingga enam bulan diselesaikan pada tahun ini.


“Projek ini merupakan salah satu agenda yang saya letakkan dalam Jawatankuasa Pemantauan Projek-Projek Berimpak Tinggi di Penampang selain daripada projek lain seperti pembinaan baru Tamu Donggongon, projek Pan Borneo, projek sekolah dan tebatan banjir.


“Saya komited memastikan projek-projek yang telah dijanjikan kepada rakyat Penampang sebelum ini dapat dilaksanakan pada penggal ini dan juga beberapa projek baharu seperti hub keusahawanan dan sebagainya,” katanya.


Terdahulu Zaliha mengadakan lawatan kerja ke beberapa hospital di Kota Kinabalu dan Papar. Beliau turut mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah pada Sabtu.


Comments


bottom of page