Fadhlina: Isu Gred Hakiki Guru Besar Dalam Perhatian Kementerian
- nabalunews
- Jul 17, 2025
- 1 min read

17 Julai 2025
KOTA KINABALU: Isu berkait gred hakiki guru besar dalam perhatian Kementerian Pendidikan (KPM) dan sedang ditangani dengan sebaik-baiknya, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Fadhlina berkata perkembangan itu disampaikan pada majlis makan malam kerajaan Sabah bersama Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) di sini, malam tadi.
"Saya kongsikan kepada semua, isu-isu berbangkit termasuk yang berkait dengan gred hakiki guru besar sememangnya dalam perhatian kementerian. Ia sedang ditangani dengan sebaik-baiknya," katanya.
Dalam pada itu, katanya beliau juga akan meneliti semua perkara yang dibangkitkan oleh PGBM bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua.
Selain itu, Fadhlina turut menekankan kepentingan pelaksanaan reformasi sekolah yang sedang berlangsung ketika ini.
"Guru besar perlu memastikan agenda reformasi ini dapat direalisasikan di sekolah masing-masing demi manfaat murid, guru, warga sekolah dan seluruh masyarakat," katanya.
Selain itu, katanya peranan PGBM dalam sistem pendidikan negara mesti terus diperkasakan, termasuk untuk membantu meningkatkan profesionalisme dan kepimpinan guru besar seluruh negara.
Dalam masa sama, beliau juga menegaskan kepentingan untuk membina hubungan yang baik dan kepercayaan yang tinggi dalam sistem pendidikan sangat penting.
Beliau turut menyatakan komitmennya untuk terus menyokong pelaksanaan program dan aktiviti PGBM termasuk menyalurkan sumbangan kewangan bagi tujuan tersebut.
"Saya jemput barisan pimpinan PGBM untuk hadir ke pejabat bagi mengadakan perbincangan lanjut. Insyaallah ini kita akan anjurkan dalam waktu terdekat," katanya.















Comments