Fadhlina sedia teliti pandangan, cadangan tangani isu buli
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

21 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bersedia untuk meneliti semua cadangan bagi memperkukuh aspek keselamatan dan menangani gejala buli di semua institusi pendidikan bawah kementeriannya.
Beliau berkata, ia termasuk berkait sokongan psikososial, latihan kepada guru dan warden, modul pendidikan untuk ibu bapa, pemantauan di institusi pendidikan serta pelan antibuli.
“Saya mengalu-alukan pandangan serta cadangan semua pihak bagi menambah baik aspek keselamatan di semua institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Usaha untuk memerangi salah laku buli dan memastikan ekosistem selamat di institusi pendidikan adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Fadhlina berkata demikian dalam hantaran di Facebook selepas menerima memorandum daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) serta Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) mengenai penambahbaikan pemantauan keselamatan dan usaha menangani buli.
Menurutnya, ketika ini KPM sedang melaksanakan beberapa inisiatif penting dalam usaaha memperkukuhkan aspek keselamatan, termasuk audit keselamatan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan penubuhan jawatankuasa reformasi keselamatan.
Bagi meningkatkan aspek keselamatan di institusi pendidikan bawah kelolaannya, KPM baru-baru ini meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi pemasangan CCTV di sekolah berasrama terpilih seluruh negara.
Pelaksanaan inisiatif ini akan bermula serta-merta sebelum diperluas secara berperingkat ke semua sekolah berasrama di seluruh negara.
Menurut KPM, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk memperkukuh pemantauan, mencegah insiden yang tidak diingini, serta mewujudkan ekosistem yang selamat dan kondusif bagi semua pelajar.
Comments