top of page

Kerjasama UMS-BAKAT Kem MAWILLA 2, Sandakan Perkasa Komuniti Menerusi Projek Hidroponik Pintar

nabalunews
8 minutes ago
2 min read

 

23 Sept 2026

 

SANDAKAN: Kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Pertanian Lestari (FPL) dengan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) di Kem Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) Sandakan membuka ruang kepada pemindahan ilmu pertanian moden serta pembangunan kemahiran dalam kalangan komuniti berkenaan menerusi Projek Pemindahan Ilmu Hidroponik Pintar Sayur Sawi dan Salad.

 

Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat UMS, Ts Dr Ag Sufiyan Abd Hamid berkata projek berkenaan memberi pendedahan kepada ahli BAKAT mengenai teknologi hidroponik sebagai salah satu usaha menyediakan mereka menghadapi alam persaraan, selain meneroka potensi pertanian sebagai sumber pendapatan tambahan.

 

“Projek ini merupakan persediaan awal bagi isteri pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyertai BAKAT untuk mengusahakan tanaman sayur dan salad menggunakan sistem hidroponik.

 

“Di samping itu, ia turut meneroka potensi pertanian sebagai sumber penjanaan ekonomi kepada BAKAT, selain menyokong usaha Tanaman Dapur,” katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Penutupan Projek Pemindahan Ilmu Hidroponik Pintar Sayur Sawi dan Salad Komuniti Tertumpu BAKAT di Kem MAWILLA 2, Sandakan baru-baru ini.

 

Beliau berkata projek yang dilaksanakan dari 1 September 2025 hingga 2 Mei 2026 itu menerima dana Kementerian Pertahanan sebanyak RM120,000, masing-masing RM60,000 bagi tanaman sawi dan salad menggunakan sistem hidroponik pintar.

 

Terdahulu, Penyelaras Projek, Dr Siti Suliza Salamat berkata seramai 16 peserta terlibat dalam projek berkenaan, masing-masing lapan peserta bagi tanaman sawi dan lapan peserta bagi tanaman salad.

 

Beliau berkata tiga siri kursus turut dilaksanakan dengan penglibatan tenaga pengajar UMS dalam bidang serangan penyakit dan perosak, teknologi Internet of Things (IoT), sistem hidroponik serta pemasaran.

 

“Peserta turut diberi pendedahan mengenai pengurusan rumah hijau dan sistem penanaman secara sistematik, selain dibimbing dalam menangani masalah yang timbul sepanjang proses penanaman,” katanya.

 

Menurut beliau, pemantauan berkala dilaksanakan oleh pembantu penyelidik pada setiap Isnin dan Jumaat, manakala penyelidik membuat pemantauan sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi memastikan proses penanaman berjalan lancar dan sebarang kekangan dapat ditangani dengan segera.

 

Sementara itu, Ketua Peserta Tanaman Sawi, Nur Uzmana Husamudin berkata penyertaan dalam projek berkenaan bukan sahaja memberi pengetahuan dan pengalaman dalam pertanian moden, khususnya sistem hidroponik, malah membantu peserta membina kemahiran mengurus rumah hijau serta menyelesaikan masalah secara sistematik.

 

“Projek ini membuka peluang untuk menjana pendapatan, memperkasakan komuniti dan memastikan kelangsungan projek pada masa hadapan,” katanya.

 

Ketua Peserta Tanaman Salad, Nurul Asyikin Ab Kadir pula berkata projek berkenaan memberi peluang kepada peserta memperluas pengetahuan dan pengalaman dalam sistem hidroponik serta pengurusan rumah hijau.

 

Beliau berkata kemahiran yang diperoleh turut membantu peserta mengurus tanaman dengan lebih sistematik serta membuka peluang menjana pendapatan.

 

Sepanjang pelaksanaan projek, tanaman sawi berjaya menjana pendapatan RM1,918 menerusi sembilan pusingan tanaman, manakala tanaman salad mencatat RM2,269 menerusi enam pusingan tanaman.

 

Projek berkenaan turut dinobatkan sebagai projek terbaik penanaman hidroponik oleh Kementerian Pertahanan.

 

Majlis penutupan projek disempurnakan Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Hj Jamaludin Hj Sairi yang turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta serta mengadakan lawatan ke tapak tanaman sawi dan salad yang menggunakan sistem hidroponik.


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page