Dua Pelajar Pascasiswazah UMS Sertai Projek Antarabangsa ‘Guardians of Memory’ di Rusia

23 Sept 2026
KOTA KINABALU: Dua pelajar pascasiswazah Program Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai projek antarabangsa ‘Guardians of Memory’ di bawah program New Generation anjuran Rossotrudnichestvo di Yekaterinburg, Rusia, baru-baru ini.
Penyelaras Program, Dr Mohamad Ikhram Mohamad Ridzuan berkata penyertaan dua pelajar tersebut, iaitu Abdul Aziz Kong Abdul Alim dan Nurfarain Abdul Rahman dalam program yang menghimpunkan 46 peserta dari 22 negara itu memberi pendedahan kepada kedua-dua pelajar untuk memperluas perspektif akademik serta membina jaringan antarabangsa.
“Penyertaan dalam program ini memberikan peluang kepada pelajar UMS untuk berinteraksi secara langsung dengan peserta dari pelbagai negara dan pelbagai atar belakang profesional dan akademik.
“Mereka turut berpeluang bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman serta memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, khususnya dalam bidang berkaitan masyarakat, sejarah dan hubungan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata penglibatan dalam forum, seminar dan lawatan ke institusi berkaitan sejarah serta arkib turut mendedahkan pelajar kepada pelbagai pendekatan dalam pemeliharaan dokumen, warisan dan memori sejarah.
Antara pengisian program ialah lawatan ke State Archive of Contemporary History of the Sverdlovsk Region dan State Archive of the Sverdlovsk Region yang memberi peluang kepada peserta mendalami sejarah wilayah Ural menerusi sumber serta dokumen arkib.
“Dalam lawatan berkenaan, peserta berpeluang melihat dokumen asal yang disimpan di institusi tersebut serta mendapat penerangan mengenai proses pemulihan dan pemeliharaan bahan arkib,” katanya.
Selain itu, program turut merangkumi forum dan seminar yang menampilkan pakar daripada pelbagai bidang menerusi sesi pembentangan dan perbincangan.
Salah satu pengisian ialah forum meja bulat bertajuk ‘Politics of Memory: Current Practices and Development Prospects’ di Multimedia Historical Park ‘Russia – My History’, Yekaterinburg Narodnaya Volya, STR ,49.
“Forum berkenaan memberi ruang kepada peserta untuk mengikuti perbincangan berkaitan politik memori serta bertukar pandangan secara langsung dengan pakar dan peserta antarabangsa mengenai pendekatan serta pengalaman negara masing-masing.
“Justeru itu, penyertaan kedua-dua pelajar berkenaan memberi peluang kepada mereka berkongsi perspektif Malaysia serta membina jaringan dengan peserta dari pelbagai negara.
“Pengalaman tersebut diharapkan dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh perkembangan akademik kedua-dua pelajar, khususnya dalam pengajian pascasiswazah bidang Sejarah,” katanya.
Ujar beliau, jaringan yang dibina menerusi program antarabangsa itu berpotensi menjadi asas kepada pertukaran ilmu serta penerokaan peluang kerjasama akademik dan profesional pada masa hadapan.
Program New Generation yang diperkenalkan pada 2011 bertujuan menggalakkan hubungan awam, profesional dan akademik antara Rusia dengan negara lain, selain membentuk jaringan dalam kalangan generasi muda antarabangsa.
Sejak diperkenalkan, program berkenaan telah disertai lebih 11,000 peserta asing dari lebih 150 negara yang berpeluang mengunjungi lebih 35 wilayah di Persekutuan Rusia.















Comments