Sabah mahu lahirkan generasi pencipta teknologi - Hajiji

23 Sept 2026
KOTA KINABALU: Sabah mahu melahirkan generasi yang bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya berupaya memahami, menghasilkan penyelesaian, mencipta nilai dan membangunkan inovasi yang bersesuaian dengan keunikan serta keperluan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata penguasaan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi, teknologi digital, bioteknologi, teknologi angkasa dan tenaga boleh baharu kini membentuk semula cara manusia belajar, bekerja serta menjalankan perniagaan.
"Dalam keadaan ini, kita tidak boleh hanya sekadar melihat atau menjadi pengguna teknologi semata-mata.
"Kita perlu membangunkan generasi yang mampu memahami teknologi, menghasilkan penyelesaian, mencipta nilai dan membina inovasi yang sesuai dengan keunikan serta keperluan negeri kita sendiri.
"Sebab itu, kita mahu menukar senario daripada sekadar 'pengguna teknologi' kepada 'pencipta teknologi'," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Pembudayaan STI Bersepadu di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk Rina Jainal.
Hajiji berkata, penguasaan STI amat penting bagi membantu menjayakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, termasuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang AI, teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi.
"Kita tidak mahu rakyat Sabah ketinggalan dalam arus transformasi digital yang sedang mengubah landskap pekerjaan, pendidikan dan pembangunan ekonomi pada masa kini dan masa hadapan," katanya.
Menurutnya, Sabah mempunyai kekuatan tersendiri menerusi kekayaan biodiversiti, sumber semula jadi, kepelbagaian budaya dan potensi ekonomi yang luas untuk diperkasakan melalui penyelidikan serta inovasi.
"Antara bidang yang boleh diberi tumpuan, katanya, termasuk pertanian pintar, keselamatan makanan, biodiversiti, tenaga hijau, pengurusan sumber air, kesihatan, teknologi marin, pelancongan berasaskan sains dan ekonomi digital," katanya
Dalam pada itu, Hajiji berkata pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu dianggap sebagai pelaburan jangka panjang dalam mempersiapkan generasi masa depan menghadapi cabaran termasuk perkembangan teknologi AI.
Katanya, kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan, khususnya melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) serta UMS, perlu diperkukuh bagi memastikan agenda pembudayaan STI dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.
"Lebih banyak program perlu dibawa ke sekolah dan komuniti, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman, supaya peluang mendapat pendedahan kepada sains dan teknologi tidak hanya tertumpu di bandar," katanya.
Hajiji berharap program berkenaan menjadi pencetus kepada lebih banyak jaringan kerjasama antara sekolah, universiti, agensi kerajaan, penyelidik, industri dan komuniti melalui projek, latihan, pertandingan, bimbingan, penyelidikan bersama serta pemindahan ilmu.
Beliau turut mahu hasil inovasi dikomersialkan dan dimanfaatkan dalam pelbagai sektor, termasuk membantu meningkatkan hasil pertanian serta memudahkan urusan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) di Sabah.
"Setiap usaha yang kita lakukan hari ini untuk mendekatkan generasi muda kepada STI merupakan satu pelaburan untuk masa depan Sabah," katanya.















Comments