Farm Tokou dan Yayasan Hasanah komited bantu mangsa banjir di Penampang
- nabalunews
- Oct 5
- 2 min read

5 Oktober 2025
PENAMPANG: Seramai 200 mangsa banjir di daerah Penampang menerima bantuan pasca bencana hasil inisiatif Farm Tokou dengan kerjasama strategik Yayasan Hasanah, sebagai sebahagian daripada usaha membantu komuniti yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Bantuan yang disalurkan meliputi barangan keperluan asas seperti bantal, tuala, dapur gas, periuk nasi, lampin pakai buang bayi dan botol susu, bagi memastikan keluarga yang terkesan dapat meneruskan kehidupan dengan lebih selesa dan selamat selepas bencana.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Tokou, Gerald Wong, misi bantuan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat setempat, khususnya bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal atau barangan asas akibat banjir kilat yang melanda Penampang.
“Sebagai sebuah perusahaan sosial yang lahir daripada komuniti, kami percaya kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui hasil pertanian semata-mata, tetapi juga sejauh mana kita mampu berdiri bersama masyarakat ketika mereka berdepan kesusahan,” kata Gerald.
“Bantuan ini mungkin kecil bagi sesetengah pihak, namun bagi keluarga yang kehilangan rumah dan harta benda, ia membawa makna yang amat besar. Inilah cara kami menyatakan solidariti, empati dan kasih terhadap komuniti di sekeliling kami,” tambahnya.
Dalam pelaksanaan misi ini, Farm Tokou turut menerima sokongan daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Moyog yang membantu mengenal pasti senarai penerima bantuan. Sementara itu, Majlis Perbandaran Penampang memainkan peranan penting dalam penyediaan kemudahan dewan bagi memastikan majlis penyerahan bantuan dijalankan dengan lancar dan tersusun.
Majlis penyerahan turut diserikan dengan kehadiran Puan Noemi, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Penampang, yang hadir bagi memberi sokongan moral kepada penerima serta mengiktiraf usaha berterusan Farm Tokou dan Yayasan Hasanah dalam membantu komuniti pasca bencana.


















Comments