- nabalunews
Festival Borneo Rhythms of Rimba 2024 di Sandakan pada 21 dan 22 September 2024
30 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN : Future Alam Borneo (FAB) sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesedaran alam sekitar di daerah ini akan menyambut ulang tahun ke-10 usaha kesedaran berkaitan oleh FAB pada tahun ini menerusi penganjuran Festival Borneo Rhythms of Rimba (ROR) 2024 Kali Ke-5 l di Discovery Rainforest Centre (RDC), Batu 14 dekat Sepilok, Sandakan pada 21 dan 22 September 2024.
Pengerusi FAB yang juga Pengerusi Penganjur ROR, Anton Ngui berkata, program berkenaan juga diadakan sebagai usaha memberikan pengetahuan masyarakat dan golongan muda berkenaan kepentingan menjaga alam sekitar dan biodiversiti.
Katanya, pelbagai acara menarik juga bakal mengisi festival dua hari itu termasuk menjemput beberapa aktivis alam sekitar dari dalam dan luar negara serta wakil bagi berkongsi pengalaman mereka dalam melaksanakan penjagaan alam sekitar melalui bidang konservasi alam serta persembahan nyanyian dan banyak lagi.
"Kita juga akan mengadakan larian bertemakan kostum alam sekitar pada 22 September di kawasan hutan RDC secara santai bersama keluarga dan rakan peserta sekaligus menikmati laluan hutan yang damai," katanya.
Anton berkata demikian pada sidang Media berhubung penganjuran Festival Borneo Rhythms of Rimba (ROR) 2024 di San Da Gen Kopitiam di sini, semalam.
Katanya, antara yang menjadi fokus ROR kali ini adalah pondok yang akan dibina dekat tasik di RDC dengan ciri khas bambu yang diinspirasikan dari rumah kampung atas air yang begitu ikonik di kawasan pesisir pantai Sabah.
Katanya pembinaan pondok itu akan dilaksanakan dengan kerjasama UCSI School of Architecture and Built Environment Kuala Lumpur.
Sementara acara menarik lain adalah aktiviti sukan luar seperti memanjat pokok, abseiling dari menara kanopi RDC, kursus halangan diri, rakit buluh dan banyak lagi.
Manakala Kimi Werner dari Hawaii, yang juga figura National Geographic and Discovery Channel turut akan menyertai perkongsian mengenai kepakarannya dalam konservasi dan pertubuhan mengenai alam marin melalui siaran dalam talian secara langsung.
Manakala pelukis terkenal Ernest Zacharevic yang telah melukis lukisan kanak-kanak berbasikal di kawasan Warisan UNESCO di Geogetown, Pulau Pinang dan Kenji Chai yang juga pelukis mural terkenal dan anak jati Sandakan serta Yee I-Lann, juga anak Sabah yang telah banyak bekerjasama dengan muzium seni di seluruh dunia juga dijangka akan turut serta dalam ROR kali ini.
Sementara persembahan muzik akan menampilkan Bil Musa, Tuni Sundatang, lost spaces dan ramai lagi DJ yang berbakat.
Anton merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang terlibat menjayakan ROR pada kali ini.
Bersama FAB, ROR 2024 dianjurkan bersama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Majlis Perbandaran Sandakan, Jabatan Perhutanan Sabah dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta kerjasama strategik termasuk bersama Yayasan Hasanah, Pesuruhjaya Tinggi Kanada dan banyak lagi.
Anton berkata, festival ini juga berhasrat menjadi sebuah festival yang bebas pembuangan sampah dan menggalakkan pengunjung mengurangkan sampah yang dibuang sepanjang program berlangsung.
Maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai festival itu boleh dilayari menerusi laman sosial rasmi festival itu :
info@futurealamborneo.org atau menghubungi Anton di talian 0122071044.
Comments