Fiesta SuBaRa pupuk semangat kesukanan warga KUSKOP: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Fiesta SuBaRa pupuk semangat kesukanan warga KUSKOP: Ewon

18 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, acara Fiesta SuBaRa 2024 mampu membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan warga kerja kementerian itu.


Beliau berkata, ini juga selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030.


“Aktiviti kesukanan bukan hanya perlu ditekankan di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi, tetapi harus diamalkan dalam alam pekerjaan agar gaya hidup kita terus kekal aktif dan cergas menerusi aktiviti sukan.

 

“Saya percaya program seperti ini mampu menyuntik semangat bekerjasama dan berpasukan dalam kalangan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) seterusnya membantu kementerian mencapai aspirasi dan objektif ditetapkan” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Fiesta Sukan Bank Rakyat (SuBaRa) 2024, di SICC Kota Kinabalu, hari ini.

 

Turut hadir Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman dan pengurusan tertinggi KUSKOP.  

 

Acara sukan itu berlangsung selama empat hari bermula 15 Februari lalu dan julung kalinya disertai oleh wakil setiap agensi di bawah KUSKOP. Jumlah keseluruhan penyertaan atlet seramai 818 orang dari seluruh pelusuk negara yang bersaing dalam 16 acara sukan.

 

Ewon berkata, semangat kesukanan dan berpasukan seperti ini perlu diteruskan dalam kalangan pucuk pimpinan dan setiap peringkat warga kerja merangkumi agensi di bawah KUSKOP.

 

“Tahniah kepada pihak pengurusan Bank Rakyat, Jawatankuasa KEBARA, agensi-agensi di bawah KUSKOP dan seluruh peserta yang bertungkus lumus memastikan kejayaan acara ini,” katanya. 

bottom of page