Fokus pada tuntutan hak Sabah, bukan ‘tebuk atap’ kerajaan: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Fokus pada tuntutan hak Sabah, bukan ‘tebuk atap’ kerajaan: Ewon

26 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, para pemimpin seharusnya memberikan fokus kepada pembangunan serta tuntutan hak Sabah dan bukannya ‘tebuk atap’.


Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, dalam hal ini kestabilan politik amat penting.


“Fokus kita seharusnya kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur di Sabah, hal-hal tertunggak dan tuntutan-tuntutan pembangunan.


“Hal ini memerlukan kestabilan politik, kalau politik tidak stabil, bagaimana kita menuntut hak Sabah dalam persekutuan Malaysia? Sebab itu saya memilih untuk mendukung Ketua Menteri daripada memberi sokongan kepada usaha untuk menggantikan beliau pada tempat dan masa yang tidak sesuai.


“Oleh itu, saya ingin mengajak kepada semua pimpinan Sabah supaya memberi fokus kepada perkara-perkara yang betul,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra dan Rumah Terbuka Krismasnya, di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usaha pihak tertentu yang cuba menumbangkan kerajaan.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, beliau kekal dengan pendiriannya untuk tidak menyokong usaha yang diistilah sebagai 'menebuk atap'.


"Saya fikir tidak akan ada apa yang diistilahkan sebagai kerajaan tebuk atap. Walaupun ada usaha cubaan tetapi saya tidak fikir tebuk atap itu berlaku.


"Di Sabah ini ada cubaan sedemikian, tetapi saya antara wakil rakyat yang berjaya menghalang apa juga usaha yang cuba dilakukan untuk menggulingkan kerajaan yang telah dipilih melalui pilihan raya.


"Saya terus dengan pendirian saya, selagi saya menjadi Presiden UPKO, saya tidak akan memberi sokongan kepada mana-mana usaha yang cuba untuk menggantikan mana-mana kerajaan yang ditubuhkan selepas perundingan yang sah untuk menubuhkan kerajaan.


“Kita semua maklum selepas pilihan raya akan ada gabungan parti yang bertanding yang akan bergabung untuk menubuhkan kerajaan dan pada saya kerajaan itu harus kekal sehingga penggalnya atau sehingga dibubarkan oleh kerajaan tesebut,” katanya.


Ewon berkata, rakyat mahu kestabilan politik kerana dengan adanya kestabilan politik kerajaan boleh merancang pembangunan lebih berkesan.


“Kalau kita sering bercakaran memilih siapa ketua menteri, timbalan ketua menteri dan siapa anggota kabinet, akhirnya fokus kita hanya memilih 11 orang, sedangkan di Sabah, rakyatnya yang jutaan jumlahnya inginkan Sabah terus membangun ekonomi, infrastruktur dan keusahawanannya.


“Bayangkan bagaimana saya dan kementerian boleh merencanakan fokus tambahan kepada Sabah jika saya terpalit dalam usaha sedemikian. Sebab itu itu kementeiran kita memerlukan satu kerajaan negeri yang sangat stabil dan pada saya biarlah kerajaan pada hari ini kekal sehingga dibubarkan oleh ketua menteri,” katanya.


Ewon turut mengulangi sokongan penuhnya kepada Ketua Menteri Sabah agar dapat meneruskan mandat itu sehingga penggal akhir.

bottom of page