top of page
nabalunews

Fokus tingkatkan pelaksanaan projek pembangunan di Sabah tahun depan, elak projek sakit - Fadillah


8 Disember 2024


KOTA KINABALU : Kerajaan Persekutuan akan memastikan lebih banyak projek pembangunan melibatkan infrastruktur kemudahan rakyat Sabah dapat disiapkan tahun hadapan kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Beliau berkata fokus diberikan untuk meningkatkan pelaksanaan projek pembangunan di Sabah pada 2025 kerana pelaksanaan projek di negeri ini berdepan pelbagai masalah serta rintangan, meskipun Sabah mendapat peruntukan besar dalam belanjawan setiap tahun.


Kekangan itu menyebabkan rakyat tidak dapat menikmati kemudahan berkenaan.


Katanya sebanyak 17 projek Persekutuan yang dilaksanakan di Sabah dikenal pasti sebagai projek sakit, manakala sebanyak 420 projek lagi masih dalam peringkat pra pelaksanaan atau belum bermula.


Fadillah berkata berikutan itu tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan 420 projek terbabit dapat dimulakan secepat mungkin.


“Projek sakit di Sabah tidak banyak, hanya 17 projek saja, tapi projek dalam peringkat pra pelaksanaan itu banyak, ada lebih kurang 420 dan itu yang kita nak fokuskan.


“Tapi daripada 420 itu, ada sudah yang bermula, masalahnya cuma lambat kemas kini laporan di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) kerana ia dimasukkan dalam program pra pelaksanaan,” katanya.


"Misal kata RM6.6 bilion (peruntukan) untuk Sabah (dalam Belanjawan 2024) tetapi kadang-kadang hanya dapat dibelanjakan dalam RM4.5 bilion atau RM4.6 bilion, sebab itu kita nak melihat bagaimana nak pastikan peruntukan diluluskan itu dapat pelaksanaan projek dengan baik supaya projek siap bukan hanya untuk ekonomi Sabah tetapi lebih penting kemudahan rakyat disempurnakan.


"Kita akan pantau secara rapi apa sahaja masalah melibatkan tanah dan sebagainya, kita cari jalan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri supaya kita dapat kurangkan segala permasalahan bagi melaksanakan projek ini," katanya pada sidang media di sini pada Sabtu, lapor Bernama.


Terdahulu Fadillah mewakili kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyerahkan enam projek siap melibatkan kos bernilai RM65.5 juta kepada Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk kerajaan Sabah.


Belanjawan 2024 menyaksikan Sabah menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM6.6 bilion.


Jumlah itu meningkat kepada RM6.7 bilion dalam Belanjawan 2025.


Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata pada masa ini tiada sasaran jumlah projek siap diletakkan tahun depan namun beliau mahu semua pihak terlibat berusaha sebaik mungkin untuk meminimumkan projek lewat siap, dan memaksimumkan jumlah yang dapat disiapkan.


Ditanya tentang masalah dihadapi dalam melaksanakan projek di Sabah, Fadillah berkata ia termasuk masalah tanah tidak dapat disediakan, tanah disediakan tetapi tidak sesuai antaranya kerana ia berada dalam kawasan bencana banjir, dan masalah kontraktor.


"Masalah paling besar ialah pelaksanaan dari segi kontraktor. Mereka mempunyai masalah dalam soal kewangan, perancangan dan kepakaran. Ada juga kekurangan bahan, kami dimaklumkan kadang-kadang ada masalah bekalan simen...juga masalah dalam soal kepakaran dari segi pekerja, jurutera, profesional, semi-profesional malah buruh.


"Projek berdepan masalah (di Sabah) antaranya (projek) bekalan air luar bandar, kemudahan asas, begitu juga jalan luar bandar dan juga sekolah-sekolah. Masalah yang kita kenal pasti bukan begitu besar dan boleh diselesaikan, tetapi ada juga masalah kontraktor tidak dapat diselamatkan (tiada kemampuan) menyebabkan projek itu tidak dapat disiapkan," katanya.


Fadillah berkata apabila projek itu tidak dapat disiapkan dan memerlukan lantikan kontraktor baharu, ia memerlukan tambahan kos menyebabkan peruntukan yang disediakan tidak cukup, manakala proses mendapatkan peruntukan baharu memerlukan masa lebih panjang.

Comments


bottom of page