top of page

FPSK UMS Anjur Majlis Apresiasi Fakulti 2025, Iktiraf 23 Penerima Anugerah

  • nabalunews
  • 4h
  • 2 min read

16 Februari 2026


KOTA KINABALU: Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Fakulti (FAN) 2025 di sini pada Sabtu sebagai platform penghargaan terhadap kecemerlangan dan dedikasi warga fakulti sepanjang tahun 2025.


Berucap merasmikan majlis tersebut, Penolong Naib Canselor (Strategik) UMS, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree menekankan peri pentingnya peranan peranan strategik FPSK dalam memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan di Sabah dan negara.


“Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan bukan sahaja melahirkan graduan prasiswazah seperti doktor perubatan, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu, malah turut menyumbang kepada pembangunan graduan pascasiswazah termasuk pakar, pendidik dan pemimpin kesihatan yang memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan.

“Antara sumbangan FPSK termasuklah bidang penyelidikan dan inovasi serta inisiatif khidmat masyarakat seperti Rural Medical Education Center (RMEC) di Sikuati, Program Perkongsian Universiti Keluarga (PUPUK) dan Program Sejahtera Masyarakat Melalui Pendidikan Profesional (PROSPEK).


“Program-program ini memperlihatkan integrasi pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan secara bermakna,” katanya yang hadir mewakili Naib Canselor UMS.


Sementara itu, Dekan FPSK, Datuk Dr. Mohd Yusof Hj. Ibrahim menyatakan bahawa kejayaan fakulti sepanjang tahun 2025 adalah hasil kerjasama erat warga akademik, klinikal, pentadbiran, teknikal dan sokongan.


“Ketahanan dan profesionalisme warga fakulti membolehkan FPSK terus melaksanakan tanggungjawab dalam pengajaran, penyelidikan dan khidmat masyarakat walaupun berhadapan dengan cabaran landskap akademik dan penjagaan kesihatan yang semakin dinamik,” ujarnya.


Beliau turut menambah bahawa RMEC di Sikuati memberi pendedahan kepada pelajar terhadap realiti perkhidmatan kesihatan luar bandar, sekali gus memperkukuh pemahaman terhadap aspek akses dan kesaksamaan dalam penjagaan kesihatan.


Majlis tersebut menyaksikan penyampaian 23 anugerah kepada individu dan kumpulan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang pengajaran, penyelidikan, perkhidmatan, pentadbiran dan sokongan profesional.


Dalam pada itu, Ketua Pentadbiran FPSK, Talib Abdullah Shani, dalam ucapannya menegaskan bahawa kecemerlangan institusi disokong oleh sistem tadbir urus yang tersusun serta kerjasama merentas jabatan dan unit.


Majlis Apresiasi Fakulti 2025 menjadi simbol penghargaan terhadap usaha kolektif warga FPSK serta komitmen berterusan fakulti dalam memartabatkan pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat selaras dengan aspirasi Universiti Malaysia Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page