Francais Malaysia Menyinar Di Osaka: Langkah Strategik Ke Pasaran Antarabangsa
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

28 Ogos 2025
OSAKA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) telah menganjurkan Misi Perdagangan Francais ke Osaka, Jepun bersempena Franchise Expo Osaka 2025 (FRAX 2025) mulai 27 hingga 29 Ogos.
Rombongan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan itu merupakan kesinambungan kepada usaha strategik dalam meneroka pasaran antarabangsa.
Ia selepas kejayaan Misi Perdagangan Francais ke China sempena China Franchise Expo 2025 yang telah berlangsung pada 8 hingga 10 Ogos lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan KUSKOP hari ini memaklumkan, penyertaan syarikat francais Malaysia di FRAX 2025 merupakan satu langkah strategik dalam menembusi pasaran Jepun yang memiliki permintaan tinggi terhadap produk dan perkhidmatan berkualiti, khususnya yang mematuhi piawaian halal dan standard antarabangsa.
Katanya, ia juga melahirkan lebih ramai usahawan francais yang berdaya saing di peringkat global sekali gus menyokong usaha memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa.
“Misi ini melibatkan 8 syarikat francais terkemuka Malaysia dalam usaha mempromosikan jenama tempatan ke pasaran Jepun serta meneroka peluang pengembangan perniagaan di rantau Asia Timur.

“Kejayaan penyertaan syarikat francais Malaysia di Osaka membuktikan bahawa jenama tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Misi ini turut merangkumi sesi perbincangan meja bulat bersama Japan Franchise Association (JFA) serta program kerjasama dengan Kumon yang merupakan salah satu jenama francais pendidikan terbesar di Jepun,” katanya.

Menurutnya, KUSKOP optimis misi ini telah meningkatkan pengiktirafan jenama Malaysia di Jepun, di samping dapat memperkukuh hubungan dagang dua hala selari dengan aspirasi Dasar Francais Negara 2030 ke arah menjadikan Malaysia sebagai Hab Francais ASEAN menjelang 2030.
Comments