13 pelajar KVLD dihukum penjara
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

28 Ogos 2025
TAWAU: Semua 13 bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) yang didapati bersalah membunuh rakan mereka, Mohd Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, Mac tahun lalu, dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini.
Salah seorang daripada mereka yang merupakan pesalah muda dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh tangkap pada 22 Mac 2024 dan turut dikenakan 12 sebatan.
Manakala, 12 lagi pesalah kanak-kanak dipenjara sehingga perkenan Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah, mengikut Seksyen 97 (2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.
Semua tertuduh yang berusia lingkungan 16 hingga 19 tahun (ketika kejadian) didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh Mohd Nazmie di KVLD di antara jam 9 malam pada 21 Mac hingga 7.38 pagi pada 22 Mac 2024.
Hukuman itu dibacakan Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding keputusan hari ini selepas memutuskan kesemua tertuduh didapati bersalah pada 22 Ogos lalu.
Mahkamah sebelum itu mendengar laporan akhlak mereka yang disampaikan pegawai akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sebelum membaca hukumannya, Duncan menyatakan kes ini adalah peringatan yang menyakitkan bahawa buli bukan perkara remeh kerana memusnahkan kehidupan kehidupan, merampas masa depan anak dan menghancurkan harapan ibu bapa.
“Ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan harapan pendidikan untuk masa depan lebih baik, namun, sebaliknya ada yang pulang ke rumah dengan cedera dan ada yang tidak pernah pulang sama sekali. Ini mesti dihentikan,”katanya.
Katanya, tiada anak sepatutnya berasa tidak selamat di sekolah atau asrama dan tiada keluarga yang harus menanggung tragedi sedemkian.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif, TPR Ng Juhn Tao dan TPR Batrisyia Mohd Khusri, manakala, lapan daripada 13 tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye.
Lima lagi tertuduh, masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P. Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Comments