Ewon sampaikan sumbangan CIS kepada masjid dan surau di Kadamaian
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

24 Mei 2026
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan sebanyak RM40,000 kepada tujuh masjid dan gabungan lima surau di kawasan Kadamaian sempena sambutan Hari Raya Korban.
Penerima sumbangan itu ialah Masjid Tengkurus, Masjid Tambulion, Masjid Al-Mubarak Kampung Lasau Podi, Masjid Lompios, Masjid Takulung, Masjid Al-Ikhwan Kampung Rajunah, Masjid Lobong-Lobong serta gabungan lima surau membabitkan Surau Narinang, Melangkap Tiong, Lingkubang, Podos dan Pinolobuh.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah itu menyampaikan sumbangan berkenaan selepas mengadakan pertemuan bersama pengerusi jawatankuasa masjid seluruh DUN Kadamaian di Pejabat ADUN Kadamaian, di sini, hari ini.

Ewon berharap sumbangan itu dapat membantu masjid dan surau yang terlibat dalam melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Cement Industries Sabah (CIS), anak syarikat Kerajaan Negeri Sabah, yang menyalurkan sumbangan keseluruhan RM40,000 yang diagih-agihkan kepada semua masjid dan surau di Kadamaian.
“Semoga keharmonian, perpaduan, kebersamaan dan kerjasama rakyat Sabah di Kadamaian terus dapat diperkasakan melalui inisiatif berterusan seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Nurul Huda Tengkurus, Antoni Satu dan wakil Masjid Kampung Tambulion, Joeharmawi Tindapau, merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ewon atas aumbangan itu.
“Terima kasih kepada Datuk Ewon kerana sentiasa prihatin terhadap keperluan semua lapisan masyarakat di Kadamaian. Sejak beliau menjadi wakil rakyat Kadamaian, setiap tahun beliau menyalurkan sumbangan kepada masyarakat setempat.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak membantu pihak masjid dan surau melaksanakan ibadah korban serta menyediakan keperluan sempena sambutan Hari Raya Korban,” katanya.















Comments