top of page

Ewon hargai inisiatif CSR Yayasan PETRONAS bantu rakyat luar bandar

  • nabalunews
  • 8 hours ago
  • 2 min read

24 Mei 2026


KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick menghargai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan PETRONAS dalam membantu rakyat luar bandar termasuk di Kadamaian.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu berkata, Program PETRONAS Memacu Kehidupan Kaamatan amat bermakna dalam meraih kebersamaan rakyat serta menambah makna kepada sambutan perayaan Kaamatan.


“Melalui program itu, Yayasan PETRONAS menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 500 keluarga termasuk 200 penerima dari daerah Kota Belud.

“Selain itu, Yayasan PETRONAS turut melaksanakan beberapa program CSR di daerah Kota Belud termasuk bantuan bekalan air graviti serta bantuan kelengkapan pendidikan sekolah.


“Saya menghargai inisiatif Yayasan PETRONAS dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program PETRONAS Memacu Kehidupan Kaamatan 2026 di sini, hari ini.


Ewon berkata, inisiatif itu amat baik kerana sambutan Kaamatan bukan sahaja diraikan sebagai perayaan kebudayaan, tetapi juga sebagai platform untuk berkongsi kegembiraan bersama rakyat khususnya keluarga yang memerlukan.

“Di sinilah semangat Kaamatan yang sebenar apabila semua rakyat berpeluang meraikan sambutan ini bersama-sama.


“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS yang telah melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat di Sabah, khususnya di Kota Belud,” katanya.


Ewon berkata, inisiatif-inisiatif itu mencerminkan usaha berterusan PETRONAS dalam menyokong kesejahteraan komuniti, khususnya golongan yang memerlukan.

“Saya berharap sumbangan Yayasan PETRONAS seumpama ini dapat sedikit sebanyak menceriakan sambutan Kaamatan tahun ini,” katanya.


Sementara itu, Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Datuk Hajah Siti Ayu Haniza Abdul Wahab berkata, inisiatif Memacu Kehidupan dilaksanakan setiap musim perayaan bagi menyebarkan keceriaan kepada keluarga penerima bantuan selaras dengan agenda Sejahtera MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat.


Katanya, sempena Kaamatan tahun ini, Yayasan PETRONAS menyumbangkan bakul makanan asas kepada 500 keluarga di Sabah termasuk 200 penerima di daerah Kota Belud.

“Saya berharap sumbangan yang diberikan dapat sedikit sebanyak menceriakan sambutan Kaamatan,” katanya.


Beliau berkata, aktiviti impak sosial PETRONAS sememangnya sudah tidak asing lagi di Kota Belud.


“Pada tahun lalu, Yayasan PETRONAS dengan kerjasama Taylor’s University dan Hopes Malaysia melaksanakan sistem bekalan air graviti dan penuaian air hujan di Kampung Tinata Ulu yang memberi manfaat kepada kira-kira 200 penduduk,” katanya.


Beliau berkata, pada tahun yang sama, Yayasan PETRONAS turut menyalurkan bantuan tanpa tunai menerusi kerjasama myKasih bernilai RM500 bagi setiap keluarga untuk pembelian barangan keperluan asas kepada mangsa kebakaran di Kampung Sangkir.


Selain itu, katanya, pada tahun 2024 PETRONAS menyumbangkan 100 unit kalkulator saintifik kepada pelajar SMK Taun Gusi yang bakal menduduki peperiksaan SPM selain menganjurkan sesi perkongsian kerjaya dan Kem Matematik bagi menyokong persediaan pelajar.


“Pada tahun 2024 juga, PETRONAS menyumbang tong gas memasak kepada 58 ketua isi rumah dan bantuan keperluan persekolahan kepada 76 pelajar yang terkesan akibat kebakaran di Kampung Kuala Abai.


“Kesemua inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan PETRONAS dalam menyokong pembangunan komuniti serta memperkukuh bidang penting lain khususnya pendidikan demi kesejahteraan dan kemajuan bersama,” katanya.


Sementara itu, Pengurus Besar Pejabat PETRONAS Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Hajah Siti Ayu Abdul Wahab berkata, inisiatif Memacu Kehidupan dilaksanakan setiap musim perayaan bagi menyebarkan keceriaan kepada keluarga penerima bantuan.


Ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata, sempena Kaamatan tahun ini, Yayasan PETRONAS menyumbangkan bakul makanan asas kepada 500 keluarga di Sabah termasuk 200 penerima di daerah Kota Belud.


“Saya berharap sumbangan yang diberikan dapat sedikit sebanyak menceriakan sambutan Kaamatan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page