Gabungan parti tempatan, saya perhalusi nadi ahli UPKO - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Gabungan parti tempatan, saya perhalusi nadi ahli UPKO - Ewon



19 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, beliau sedia memperhalusi nadi ahli-ahli UPKO yang ingin melihat penubuhan satu gabungan parti-parti politik tempatan.


Beliau berkata, sebagai Ketua Bahagian dan Wakil Rakyat yang dipilih oleh akar umbi, beliau sentiasa mengamalkan pendekatan “bottom up approach” dalam mengangkat aspirasi rakyat yang memberi sokongan kepada beliau.



“Saya maklum selepas cawangan-cawangan UPKO di Kadamaian selesai mengadakan mesyuarat agung dan semasa kunjungan saya ke setiap mukim, ramai yang mengemukakan pandangan serta aspirasi mereka yang ingin melihat satu gabungan politik parti-parti tempatan Sabah dapat diwujudkan.


“Saya menjadi Ketua Bahagian kerana sokongan Ketua-Ketua Cawangan dan ahli-ahli UPKO. Saya menjadi Wakil Rakyat Kadamaian kerana sokongan majoriti rakyat Kadamaian.



“Justeru, sepertimana selama ini saya mengamalkan pendekatan bawah ke atas dalam mengangkat aspirasi rakyat, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mewakili aspirasi majoriti rakyat yang mahu melihat gabungan parti politik menjadi kenyataan,” katanya.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata demikian semasa kunjungan beliau ke Mukim Taginambur, Kadamaian untuk perjumpaan dengan para pimpinan UPKO akar umbi dari 12 Cawangan di mukim tersebut.



Bagaimanapun, beliau menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai jenama baharu kepada gabungan politik lama kerana masih diterajui parti dari Semenanjung, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan tidak ada bezanya dengan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).


“Jika PH Sabah diterajui atau dipengerusikan oleh parti tempatan Sabah, ianya sesuatu yang menarik. Tetapi jika GRS itu ditubuhkan hanya mencakupi parti-parti tempatan Sabah, tanpa UMNO, PPBM, PAS, MCA dan lain-lain parti dari Semenanjung, ianya akan lebih menarik dan rasanya itulah yang diinginkan oleh majoriti rakyat Sabah.



“Dalam keadaan GRS didaftarkan secara rasmi dan dipengerusikan oleh Datuk Hajiji selaku Ketua Menteri, beliau akan tetap berhadapan dilema samada akan akur dengan kehendak dan aspirasi parti-parti tempatan Sabah atau kehendak pimpinan PPBM.


“Contohnya samada beliau akur dengan desakan parti tempatan menentang cadangan pemberian dokumen pengenalan Kad Warga Asing kepada pendatang asing di Sabah atau akur dengan kemahuan Menteri Dalam Negeri yang juga Setiusaha Agung PPBM yang bertegas mahu melaksanakan pemberian dokumen baharu tersebut,” katanya.



Ewon berkata, jika GRS ditubuhkan mencakupi parti-parti tempatan Sabah sahaja, maka beliau bersedia mempertimbangkan untuk mengadakan referendum UPKO bagi mendapatkan pandangan ahli-ahli UPKO.


“Saya telah menyampaikan pandangan saya kepada rakan-rakan pimpinan dalam GRS. Tetapi selagi ianya masih dengan stuktur keanggotaan mereka hari ini, maka peranan UPKO haruslah untuk membuat penyertaan dalam gabungan yang boleh membuat tawaran politik yang lebih baik misalnya jika PH Sabah itu diterajui oleh parti tempatan Sabah,” katanya.



Dalam perjumpaan tersebut, pimpinan UPKO Mukim Taginambur menyuarakan pandangan mereka mengenai keperluan menubuhkan gabungan politik parti-parti tempatan Sabah.


Ketua-Ketua Cawangan dan Timbalan masing-masing serta Ketua Pemuda, Wanita dan Gen-Y dari 12 Cawangan UPKO di Mukim Taginambur hadir dalam perjumpaan tersebut.



Dalam perjumpaan tersebut juga, Ewon turut menyampaikan sumbangan pembiayaan gotong-royong di lima buah cawangan, sumbangan 70 bakul makanan kepada keluarga memerlukan dan juga sumbangan tambahan 50 kerusi untuk Dewan Kg.Tamalang sebagai tambahan sumbangan kerusi daripada beliau sebelum ini.



bottom of page