GAGAL PATUHI SOP PKPB, 24 KOMPAUN DIKELUARKAN
- nabalunews
- Oct 14, 2020
- 2 min read

14 OKTOBER 2020
PENAMPANG: Sebanyak 24 kompaun dikeluarkan terhadap 24 orang yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah itu.
Ketua Polis Daerah Penampang Mohd Haris Ibrahim berkata, sejak 7 Oktober lalu, seramai 22 lelaki dan dua wanita dikenakan kompaun di Penampang dan Putatan kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau berkata, tindakan mengeluarkan kompaun ini akan diteruskan untuk memperlihatkan ketegasan PDRM dalam melaksanakan tugas menguatkuasakan PKPB di daerah tersebut.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan Operasi Bersepadu bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Penampang di Pasar Tani dan Pasar Borong, Penampang, hari ini.
Mengenai operasi itu, Haris berkata, operasi yang dilakukan itu adalah bagi menguatkuasakan pematuhan SOP dalam kalangan peniaga dan pembeli yang berkunjung ke pasar tersebut.
“Hasil pemantauan sebahagian besar gerai borong yang ada di sini didapati mematuhi SOP ditetapkan KKM iaitu memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan sosial.
“Malah, ada inisiatif pihak pasar tani untuk meletakkan papan tanda di beberapa lokasi di bangunan pasar borong ini bagi mengingatkan pelanggan dan peniaga tentang SOP yang perlu dipatuhi.
“Kita juga mendapati kesedaran masyarakat sangat tinggi. Bagaimanapun, kita berharap masyarakat Penampang boleh datang ke Pasar Tani ini untuk mendapatkan bekalan makanan dengan mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.
Operasi berkenaan turut disertai oleh Penolong Pegawai Daerah Stanley Sikolis, kakitangan KKM, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Majlis Daerah Penampang.
Menurutnya, selain operasi di Pasar Tani itu, mereka turut melakukan pemantauan di Pekan Donggongon, Penampang Baru dan kawasan-kawasan tumpuan awam.
Haris berkata, pasukan pemantau menitikberatkan pemeriksaan premis yang beroperasi dan tidak mengikut peraturan seperti tidak meletakkan buku catatan nama pelanggan, tidak meletakkan alat perakam suhu dan premis-premis yang tidak dibenarkan beroperasi.
Setakat ini, IPD Penampang hanya membuka satu sekatan jalan raya (SJR) di sempadan Penampang-Papar bagi memeriksaan kenderaan yang melakukan rentas daerah.
“Setakat ini, kita dapati semua kenderaan yang lalu di situ adalah bagi perkhidmatan perlu dan pekerja yang dibenarkan dengan syarat, mereka mempunyai surat daripada majikan,” jelasnya.
SUMBER: Borneo Today
Ditulis oleh: Suraidah Roslan















Comments