Generasi muda bebas rasuah, salah guna kuasa harus diketengahkan sebagai pemimpin di Sabah - Generasi Muda UPKO
nabalunews

13 Disember 2024
KOTA KINABALU : Sudah tiba masanya kepimpinan kerajaan Sabah diterajui oleh golongan muda, segar dan bebas dari gejala rasuah serta salahguna kuasa kata Ketua Generasi Muda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Seheral Linus.
"Maka dengan itu, mereka wajib diberi lebih banyak ruang dan peluang untuk diketengahkan sebagai pemimpin di Sabah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Seheral berkata fokus perlu diberikan kepada pembangunan Sabah yang terkebelakang.
"Sumber alam semulajadi yang terhad di wilayah ini seharusnya diurus dengan baik demi menafaat rakyatnya. Jangan lagi kita ulangi kesilapan yang lalu seperti dalam pengurusan sumber kayu balak, tembaga dan petroleum," tegasnya.
Menurut Seheral, semangat asal pewujudan negara Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 juga perlu dihormati.
"Persekutuan Malaysia wujud pada 1963 dengan penggabungan 3 wilayah - Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Selepas 61 tahun, Sarawak kelihatan lebih berjaya dan terserlah dalam mengemukakan tuntutan-tuntutannya manakala Sabah hanya menjadi pak turut dalam kebanyakkan hal.
"Aspirasi kita adalah untuk melihat tiga wilayah di Malaysia ini seiring maju dan saksama. Sabah, khasnya, perlu berusaha lebih gigih untuk mencapai status maju," katanya.
Menurut Seheral lagi, video-video tular mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah turut menggugat kewibawaan dan kredibiliti pemimpin-pemimpin yang terkait walaupun kita mengamalkan prinsip
tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah ataupun ‘innocent until proven guilty’.
Katanya proses perundangan perlu diberi laluan dan perkara ini juga memerlukan
kerjasama semua pihak untuk membongkar isu-isu ini namun majoriti ADUN-ADUN yang terkait adalah pemimpin-pemimpin veteran.
"Sabah tidak ketandusan dengan pemimpin-pemimpin muda. Ironinya, peluang mereka terbatas apabila pemimpin-pemimpin lama di dalam parti mereka enggan berundur.
"Golongan muda mengharapkan agar mereka diberi peluang pada pilihanraya umum Sabah yang akan datang," katanya.
Comments